Malaysia Oversight

JPA nafi maklumat tular mengenai pembatalan skim pencen

By Utusan in August 6, 2025 – Reading time 2 minute
JPA nafi maklumat tular mengenai pembatalan skim pencen


PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan bahawa maklumat yang sedang tular mengenai pembatalan skim pencen bermula 1 Januari 2025 adalah tidak benar dan palsu.

JPA berkata, tiada sebarang perubahan atau pembatalan skim pencen bagi pegawai awam sedia ada, dan menyeru orang ramai supaya merujuk maklumat berkaitan sistem persaraan hanya kepada sumber rasmi .

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa maklumat yang sedang tular mengenai perubahan sistem pencen mulai 1 Januari 2025 adalah tidak benar. Tiada pembatalan pencen untuk pegawai awam sedia ada.

“Sebarang maklumat berkaitan pencen perlu dirujuk kepada sumber rasmi kerajaan seperti Bahagian Pencen JPA atau Kumpulan Wang Persaraan (KWAP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPA turut mengingatkan orang ramai bahawa menyebarkan berita palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sebelum ini, tular satu mesej palsu melalui media sosial yang mendakwa beberapa perubahan drastik akan berlaku terhadap sistem pencen negara bermula tahun hadapan.

Antara dakwaan yang disebarkan termasuk semua kakitangan kerajaan baharu akan berada dalam skim KWSP dan tidak lagi layak menikmati skim pencen, setiap pesara hanya berhak mendapat satu pencen sahaja dan ahli politik hanya layak menerima pencen pertama dan pencen berikutnya akan dibatalkan.

Selain itu, pasangan pesara hanya boleh menerima pencen jika kedua-duanya pencen atau selepas kematian pasangan, pelarasan kos sara hidup (COLA) hanya akan dibuat sekali dan tidak lagi diselaraskan sepanjang hayat, tiada bonus diberikan kepada pesara dan pegawai kerajaan mesti berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun untuk layak pencen dan jika bersara sehari sebelum itu tidak akan menerima sebarang pencen.

JPA menggesa orang ramai agar tidak mempercayai, menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak sahih dan menasihatkan agar merujuk terus ke laman web rasmi JPA atau KWAP untuk sebarang perkembangan mengenai pencen dan perkhidmatan awam.
“Usah percaya kepada mesej yang tular ini. Sekiranya menerima mesej sedemikian, abaikan dan laporkan kepada pihak berkuasa,” ujar kenyataan itu lagi. – UTUSAN





Source link