Malaysia Oversight

Johor diminta kemukakan kertas cadangan pembinaan RMMJ di Kempas

By TheSun in December 16, 2025 – Reading time 2 minute
Johor diminta kemukakan kertas cadangan pembinaan RMMJ di Kempas


KKM minta Johor kemukakan kertas cadangan rasmi pembinaan Rumah Mampu Milik Johor di atas tanah kementerian di Kempas pada suku pertama 2025.

JOHOR BAHRU: Negeri Johor diminta segera mengemukakan kertas cadangan rasmi bagi pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di atas tanah Kementerian Kesihatan (KKM) di Kempas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata permintaan itu susulan komitmen kementeriannya untuk mempertimbangkan hasrat negeri memajukan tanah tersebut.

Beliau berkata kertas cadangan itu perlu dikemukakan pada suku pertama tahun hadapan bagi memastikan segala proses dapat dilakukan dengan lancar.

“Saya yakin dalam tiga bulan pertama 2026 kertas cadangan akan diperolehi,” katanya selepas melawat Hospital Permai di sini.

Dzulkefly berkata perkembangan itu merupakan proses yang perlu dilakukan setelah pihaknya menerima permohonan rasmi daripada negeri pada 4 Disember lepas.

Permohonan yang diterima melibatkan kawasan seluas kira-kira 58.67 hektar, namun perkara itu masih perlu diperhalusi.

Beliau sebelum ini menyatakan KKM akan mempertimbangkan hasrat negeri tersebut bagi pembangunan RMMJ di tanah selian kementerian.

Ia susulan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengenal pasti tanah milik kerajaan berpotensi untuk dimajukan termasuk tanah di bawah KKM di Kempas.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut memuji transformasi Pasar Nanyang di Mount Austin kepada Klinik Kesihatan Sultan Ismail (Unit Ibu dan Anak).

Beliau berkata inisiatif itu berupaya mengurangkan kira-kira 30% kesesakan di Klinik Kesihatan Sultan Ismail (KKSI).

“Ini usaha yang sangat baik sekali gus menjadikan persekitaran selesa dan luas untuk ibu dan anak,” katanya.

Kerajaan negeri membayar sewa selama 10 tahun dengan kos RM2.4 juta, manakala kos menaik taraf RM1.08 juta serta RM760,000 bagi pembelian peralatan. – Bernama



Source link