Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani berpendapat projek pembangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, perlu dimbil alih oleh pemaju lain khususnya syarikat berkaitan kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), TH Properties Sdn Bhd dan Sime Darby Property.
Mencadangkan jalan penyelesaian, kata Johari, pemaju semasa dilihat gagal mendapatkan kepercayaan daripada penduduk yang tidak bersetuju dengan pengambilan tanah, selain melakukan pemindahan penduduk sebelum persetujuan 100 peratus diperolehi.
“Jadi ada satu solution (penyelesaian) saya bagi (cadangkan) kepada dia orang (penduduk). Saya cakap, mereka ramai-ramai ada persatuan, dah tengok pemaju ini dah ‘cap ayam’ saya dah hot sikit. Cubalah pergi bincang dengan pemaju itu, tanya mereka.
“Engkau dah tak boleh buat pasal dah hilang kepercayaan. Jadi untuk dapat balik kepercayaan orang kat situ, kenapa tidak dia (pemaju) surrender daripada projek ni?
“Bagilah kat UDA berapa yang kamu dah bayar pampasan. Kalau RM62 juta bincang dengan UDA. Jadi UDA buatkan projek ini. Jadi orang yakinlah.
“Itu kalau UDA nak buat. Kalau UDA tak nak buat carilah mana-mana agensi. Mungkin Sime Darby Property, TH Properties ke, supaya orang yakin yang ada orang beli apabila projek ini akan siap,” katanya dalam program audio siar, Podcast Utama, di TV3, malam tadi.
Johari juga mendakwa pemaju sekarang menuntut pampasan yang tinggi sekiranya ada pihak mahu mengambil alih projek berkenaan dengan nilai ganti rugi mencecah RM170 juta.
Dia berkata demikian sebagai mengulas isu berkaitan projek pembangunan di Kampung Sungai Baru yang menjadi kontroversi mutakhir ini.
Isu tersebut kembali hangat baru-baru ini selepas sekumpulan ahli parlimen pembangkang turun padang bertemu dan mendengar penjelasan daripada penduduk yang tidak bersetuju dengan pengambilan tanah kawasan itu.
Patut uruskan penduduk tak setuju
Dalam pertemuan berkenaan wakil penduduk mendakwa beberapa bekas menteri dan wakil rakyat terdahulu menyebelahi pemaju, termasuk Annuar Musa, Shahidan Kassim, serta ahli parlimen Titiwangsa ketika itu, Rina Harun.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru dengan sebahagian penduduk enggan berpindah, bukan semata-mata kerana pampasan, tetapi kerana ingin mempertahankan warisan rumah pusaka keluarga.
Menurut laporan media tempatan, projek pembangunan di kawasan itu bermula sejak 2016 dengan persetujuan 260 penduduk namun terhenti apabila 37 penduduk membantah.
Pemaju kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil alih tanah terbabit.
Namun laporan Malaysiakini menyebut seramai 219 pemilik telah bersetuju manakala 109 pemilik lagi masih mempertahankan hak mereka.
Mengulas lanjut Johari yang juga menteri Perladangan dan Komoditi berkata, projek pembangunan kawasan itu tidak boleh ditarik semula apabila Akta Pengambilan Tanah 1960 diluluskan dan 67 peratus penduduk sudah berpindah.

Katanya majoriti mereka yang mendiami rumah pangsa dijanjikan dengan pampasan RM10,000 selain kos sewaan rumah sementara RM1,200 serta sebuah unit rumah gantian selepas projek tersebut siap.
Jelas Johari, pemaju membuat kesilapan apabila menyuruh penduduk yang bersetuju berpindah keluar dari kediaman mereka masing-masing.
“Sebenarnya pemaju ni yang paling salah sekali, sebab sepatutnya sebagai pemaju yang bertanggungjawab, dia dah tahu, dia dapat persetujuan 67 peratus (penduduk), lagi 33 peratus belum bersetuju, dia tak boleh pindahkan 67 peratus ini.
“Dia patutnya biarkan 67 peratus tu duduk di situ dulu, pasal dia dah ada persetujuan. Cuma dia kena berurusan dengan 33 peratus. Kalau nak berurusan dengan 33 peratus tu, ambil masa lagi lima tahun, tak apa, orang pun tak marah pasal dia masih duduk kat situ,” katanya.
Dalam sesi penerangan sekitar sejam itu, Johari turut menjelaskan bahwa tanah di kampung berkenaan bukan berstatus rezab Melayu seperti Kampung Baru.
Katanya, pegangan tanah di Kampung Baru adalah kekal atau – dalam istilah lain – selagi ada bulan dan bintang, maka ia mestilah berada dalam pegangan orang Melayu.
Jika ada sebarang cadangan pembangunan, kata Johari, ia mestilah diusahakan oleh pemiliknya sendiri.
“Tapi Kampung Sungai Baru ini lain pasal ia flat PKNS. Dia leasehold (pajakan). Jadi banyak orang keliru,” katanya.