Sepasukan pegawai daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan ke Sabah dalam masa terdekat bagi merakam keterangan tiga pegawai kanan polis yang terlibat dalam siasatan awal kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata JIPS telah membuka kertas siasatan tatatertib (KST) terhadap ketua polis daerah berpangkat superintenden, ketua bahagian siasatan jenayah daerah berpangkat ASP, dan pegawai penyiasat berpangkat inspektor yang disyaki melakukan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes tersebut.
“Pegawai JIPS Bukit Aman akan ke sana dalam tempoh satu atau dua hari lagi bagi mengambil keterangan ketiga-tiga pegawai berkenaan.
“Siasatan ini berkaitan ketidakpatuhan SOP siasatan kes Zara Qairina dan penyeliaan terhadap pegawai penyiasat,” katanya.
Ayon Khan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur malam tadi.
Kataya tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia yang bertanggungjawab sekiranya terbukti berlaku ketidakpatuhan SOP siasatan
Setakat ini, katanya, ketiga-tiga pegawai kanan terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa.
Pada Rabu lalu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar memaklumkan dapatan awal siasatan pasukan petugas khas mendapati wujud unsur ketidakpatuhan SOP oleh pegawai penyiasat berhubung kes kematian Zara Qairina.
Pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai selepas dimasukkan ke situ sehari sebelumnya.
Dia dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada jam 4 pagi 16 Julai.
– Bernama






