PETALING JAYA: Kejayaan pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei mara ke final Kejohanan Badminton Thailand Masters 2026 menjadi isyarat kebangkitan semula bekas juara dunia remaja itu.
Biarpun terpaksa menarik diri di pentas final kelmarin, Jin Wei mempamerkan aksi terbaik di kejohanan Super 300 buat kali pertama dalam tempoh beberapa musim, selepas bergelut dengan isu kesihatan dan prestasi tidak menentu.
Lebih membanggakan, pemain berusia 26 tahun itu berjaya menewaskan lawan yang memiliki ranking lebih tinggi dalam aksi tiga set yang panjang dan berintensiti tinggi sepanjang aksi di Bangkok.
Keupayaan Jin Wei bangkit selepas ketinggalan set pertama serta mengatasi defisit mata besar dalam beberapa perlawanan menjadi petunjuk kematangan mental selain peningkatan disiplin taktikalnya di gelanggang.
Jurulatihnya, Nova Armada, menyifatkan kejohanan tersebut sebagai persembahan terbaik Jin Wei dari sudut keseluruhan permainan serta daya tahan fizikal.
“Jin Wei tidak mengalami kecederaan atau sakit, tetapi usaha luar biasa itu akhirnya memakan dirinya sendiri. Dia benar-benar kehabisan tenaga dan sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberikan di final.
“Namun, saya tetap menganggap ini sebagai satu usaha luar biasa, lebih-lebih lagi jika mengambil kira keadaan kesihatannya,” kata Nova.
Jin Wei tiba di Bangkok dalam keadaan kurang keyakinan selepas tersingkir di pusingan pertama Korea Masters pada November lalu, namun bangkit dengan menewaskan pemain Taiwan, Huang Ching Ping yang berada di ranking ke-53 dunia 21-18, 21-23, 21-11 pada perlawanan pembukaan di Stadium Nimibutr.
Juara dunia remaja dua kali itu kemudian melakar kebangkitan mengagumkan dengan menewaskan pemain China, Han Qian Xi yang berada di ranking ke-37 dunia 12-21, 21-10, 21-16 sebelum mencatat satu lagi kemenangan getir ke atas pemain ranking ke-38 dunia, K. Letshanaa 12-21, 21-17, 21-19 pada aksi suku akhir.
“Sejak pusingan pertama, setiap perlawanan berlangsung hingga tiga set dan mengambil masa hampir sejam, malah sehingga kini saya sendiri tidak tahu bagaimana dia mampu mengharungi kejohanan yang begitu menuntut fizikal.
“Dia bukan seorang yang mudah mengalah. Sejak hari kedua, dia menjalani fisioterapi serta proses pemulihan hanya untuk terus beraksi, tetapi ada kalanya tubuh badan tidak lagi mampu memberikan tindak balas,” katanya.
Dengan pengurusan jadual kejohanan dan proses pemulihan yang lebih tersusun, Jin Wei kini dilihat berpotensi kembali sebagai pemain konsisten dalam kejohanan Super 300 dan Super 500 dalam tempoh dua tahun akan datang.-UTUSAN






