Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 37 warga asing dalam serbuan di sebuah hotel yang dijadikan pusat pelacuran di ibu negara, pada 5 Sept.
Ketua Pengarah JIM Zakaria Shaaban berkata 18 daripada yang ditahan itu warga Indonesia termasuk seorang lelaki, sembilan wanita Thailand, enam wanita Vietnam, dua lelaki Myanmar dan masing-masing seorang wanita dan lelaki dari Laos dan India.
Katanya mereka semua berusia antara 19 hingga 61 tahun.
Menurut Zakaria semakan awal mendapati enam wanita Thailand, tiga wanita Vietnam, dua wanita Indonesia dan seorang wanita warganegara Laos menyalahgunakan pas masing-masing manakala lelaki Indonesia dikesan tinggal lebih masa.
“Sementara itu, dua lelaki Myanmar, seorang lelaki India, 15 wanita Indonesia dan masing-masing tiga wanita Vietnam dan Thailand tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, pasukan operasi JIM menyita salinan perjanjian kerja, enam pasport Thailand, masing-masing tiga pasport Vietnam dan Indonesian dan Laos (1).
Kata Zakaria, modus operandi yang digunakan sindiket terbabit ialah dengan menjadikan premis hotel tiga bintang itu sebagai pusat pelacuran warga asing.
“Pelanggan boleh memilih wanita yang ingin dilanggan berdasarkan gambar pada aplikasi WhatsApp atau secara datang terus, manakala kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM250 hingga RM400 bagi setiap jam.
“Dipercayai kegiatan ini beroperasi sejak Sept tahun lalu,” katanya.
Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan tujuh lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 6 Sept, JIM menahan 21 wanita Myanmar di pusat hiburan di Nilai, Negeri Sembilan, atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah.
Zakaria berkata, JIM bertindak atas maklumat risikan selama dua minggu dan pasukan operasi diatur gerak ke premis terbabit sebelum menahan seorang perempuan Myanmar yang disyaki ‘penjaga premis’.
“Turut ditahan 20 perempuan Myanmar yang disyaki bekerja sebagai gadis pelayan. Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun,” katanya.
Zakaria berkata pasukan operasi turut menyita buku catatan urus niaga dan tujuh unit telefon bimbit.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menjadikan premis perniagaan sebagai pusat hiburan yang diuruskan oleh warga Myanmar.
“Premis hiburan ini hanya beroperasi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja. Mereka pula hanya menerima pelanggan warga Myanmar dan pelanggan diwajibkan memesan minuman keras bagi memasuki pusat hiburan berkenaan.
“Di sana pelanggan turut ditawarkan gadis pelayan warga Myanmar dengan bayaran sebanyak RM150 hingga RM200 setiap seorang,” katanya.
Zakaria memaklumkan premis hiburan itu dipercayai sudah beroperasi selama tiga bulan, manakala semakan awal mendapati lapan daripada mereka telah tinggal lebih masa, sedangkan 13 yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Katanya semua yang ditahan itu dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan lima lelaki serta seorang wanita Myanmar diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
– Bernama