Di tengah-tengah gesaan agar dia berehat, Rafizi Ramli berikrar untuk meneruskan rutin dan tanggungjawab seperti biasa kerana enggan tunduk pada ugutan terhadapnya
Jelas Rafizi, serangan terhadap anak lelakinya yang berusia 12 tahun bertujuan agar dia putus asa dan duduk dia,.
“Ada yang cadang saya berehat sebentar, tapi hidup dan tanggungjawab mesti diteruskan,” tulis ahli parlimen Pandan itu dalam catatan Facebook.
“Saya bukanlah tidak ada hati perut pentingkan politik dalam keadaan sekarang, tetapi matlamat ugutan terhadap keluarga saya ialah supaya saya putus asa dan duduk diam.
“Kalau saya tidak meneruskan rutin dan tanggungjawab seperti biasa, maka tercapailah matlamat mereka itu,” katanya.
Malam ini, Rafizi akan mengulas mengenai serangan terhadap keluarganya itu dalam podcast bersama Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan seorang aktivis pendidikan.
Rancangan podcast itu juga akan membincangkan budaya buli yang semakin meningkat dan menimbulkan kebimbangan ramai pihak, dengan kes kematian pelajar berusia 13 tahun Zara Qairina Mahathir di Sabah baru-baru ini turut dikaitkan dengan gejala itu.
Rafizi turut memaklumkan bahawa dia akan meneruskan program Kaunter Bergerak di Pasar Pagi Taman Muda dan berjumpa penduduk Pandan macam biasa, esok.
Dua hari lalu, negara dikejutkan dengan berita bahawa anak lelaki Rafizi telah disuntik dengan picagari oleh penyerang yang tidak dikenali yang berpakaian hitam dan memakai topi keledar di tempat letak kereta pusat beli-belah di Putrajaya. Kejadian berlaku ketika Rafizi, isteri, dan anak lelakinya memasuki kenderaan mereka.
Rafizi mendedahkan bahawa anaknya akan memerlukan ujian perubatan berkala untuk menentukan sama ada sebarang bahan berbahaya disuntik.
Menyifatkannya sebagai serangan terancang, ahli parlimen PKR itu mengaitkannya dengan pertemuan dengan pemberi maklumat yang memberinya maklumat mengenai “individu tertentu” yang tidak dinamakannya.
Hari ini, Malaysiakini melaporkan bahawa bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menafikan percubaan untuk mengaitkannya dengan serangan itu.
Baru-baru ini, Rafizi menggesa SPRM menyiasat Farhash selepas dia terlibat dalam skandal perlombongan Sabah.
Dia mendakwa ini bukan kali pertama Farhash dikaitkan dengan urusan perniagaan yang meragukan, sambil menambah kekayaan dan pengaruhnya menjadi topik perbualan yang kerap di kalangan rakyat dan ahli perniagaan.
“Sejak Anwar menjadi perdana menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.
“Ada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan beliau, kemudiannya mendapat kontrak perolehan yang besar dari kerajaan,” dakwanya.