Malaysia Oversight

Jho Low kerja untuk China, kerugian Malaysia jauh lebih besar

By MkiniBM in July 19, 2025 – Reading time 3 minute
Jho Low kerja untuk China, kerugian Malaysia jauh lebih besar


Ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dilaporkan dilihat di Shanghai dan didakwa sedang bekerja dengan sebagai “pakar strategi di belakang tabir”.

Wartawan penyiasat Bradley Hope dan Tom Wright berkata Jho Low menggunakan pasport palsu Australia dengan nama Greek, Veis Constantinos Achilles untuk menyembunyikan identitinya semasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

“Dia tinggal di kawasan kejiranan mewah di Shanghai yang dikenali sebagai Green Hills, dalam sebuah banglo dengan kereta-kereta mewah, dan berulang-alik 15 minit ke pejabatnya di Pusat Kewangan Shanghai,” dakwa mereka dalam surat berita “Whale Hunting” malam tadi.

Pada tahun 2023, Hope menolak dakwaan bahawa Jho Low berada di Macau, dan menyatakan dia percaya bahawa ahli perniagaan itu sebenarnya dikenakan tahanan rumah di Shanghai.

Hope dan Wright merupakan penulis buku terlaris Billion Dollar Whale dan sebelum ini adalah wartawan The Wall Street Journal.

Pada bulan Mac, mereka melancarkan satu sistem ganjaran menggunakan “meme coin” untuk mengesan keberadaan Jho Low dan mendapatkan maklumat mengenainya.

Individu yang memberikan maklumat yang disahkan sebagai benar oleh moderator akan menerima ganjaran dalam bentuk token $JHOLOW, bergantung kepada nilai dan kepentingan maklumat tersebut.

Kerugian jauh lebih besar

Dalam ulasan lanjut, surat berita itu turut mendakwa bahawa kerugian sebenar yang ditanggung oleh Malaysia akibat penyelewengan 1MDB adalah jauh lebih besar berbanding jumlah yang diakui , iaitu mencecah RM76.5 bilion.

1a471d48a0529673b2fa52c3a998bbf4

“Seorang pegawai kanan telah mengesahkan jumlah ini berdasarkan siasatan dan penelitian dalaman mereka: AS$7.65 bilion (RM32.48 bilion) telah dicuri daripada 1MDB, dengan Jho Low secara peribadi mencuri kira-kira AS$2.5 bilion (RM10.61 bilion).

“Jumlah kerugian ekonomi akibat penipuan ini – kos sebenar kepada Malaysia – adalah sekitar AS$12 bilion (RM50.95 bilion), iaitu hampir keseluruhan saiz 1MDB semasa kemuncaknya (AS$13 bilion atau RM55.20 bilion).

“Perjanjian inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) yang korup dan terlebih bayar yang ditandatangani (bekas perdana menteri) Najib Abdul Razak bagi menutup skandal 1MDB (yang didalangi Jho Low) menyebabkan Malaysia menanggung kerugian tambahan sebanyak AS$6 bilion (RM25.48 bilion). Sebahagian daripada wang itu mungkin telah dicuri, dan tidak mustahil Jho Low turut menerima sebahagiannya.

“Ini bermakna jumlah kos langsung 1MDB kepada Malaysia mencecah sekitar AS$18 bilion (RM76.43 bilion). Kos tidak langsung mungkin lebih teruk lagi (termasuk kesan kepada pinjaman, reputasi, dan sebagainya),” tulis mereka.

Impak akibat 1MDB

Siasatan antarabangsa terhadap skandal besar 1MDB – yang terus memberi kesan besar terhadap landskap politik dan kewangan Malaysia – menganggarkan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM16.8 bilion) telah diseleweng dari dana milik itu antara tahun 2009 hingga 2013.

23daee1a5a22a9d6e2a4698d23ecb8fc

Skandal ini – yang sering digelar antara penipuan kewangan terbesar dalam sejarah moden – masih membawa kesan undang-undang dan politik yang signifikan di dalam dan luar negara.

Pada 30 Mei lalu, bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner, dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di New York atas peranannya dalam skandal 1MDB.

Goldman Sachs memainkan peranan utama dalam penjualan bon bernilai AS$6.5 bilion bagi pihak 1MDB dengan bantuan Jho Low.

Namun, sebahagian besar dana tersebut telah diseleweng ke dalam akaun bank luar pesisir dan syarikat kosong yang dikaitkan dengan Jho Low, yang berasal dari Pulau Pinang.

Pada Mei, sebuah mahkamah di Luxembourg mengarahkan bank swasta Edmond de Rothschild Europe membayar denda €25 juta (RM120 juta) sebagai penyelesaian kes jenayah berkaitan pengubahan wang haram dan kesalahan menyembunyikan maklumat melibatkan 1MDB.

Daripada jumlah yang diselewengkan daripada 1MDB, kira-kira AS$472.5 juta (RM2.2 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun di Edmond de Rothschild Europe.



Source link