Malaysia Oversight

JHEAIK rakam keterangan pendakwah isu solat Jumaat bersama bunian

By Utusan in May 4, 2025 – Reading time 2 minute
JHEAIK rakam keterangan pendakwah isu solat Jumaat bersama bunian


ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Kedah (JHEAIK) selesai mengambil keterangan seorang pendakwah terkenal berhubung video tular mendakwa seorang ulama menunaikan solat Jumaat bersama makhluk bunian di tengah laut.

Menurut Pengarah JHEAIK, Datuk Abd. Ghani Zainudin, sesi soal siasat dijalankan pada jam 10 pagi hari ini dan dihadiri oleh pendakwah terbabit dengan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah JHEAIK, Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim.

“Pendakwah berkenaan mengakui ada menyampaikan kenyataan itu pada 11 November 2023 dalam satu majlis ilmu. Kertas siasatan telah lengkap dan akan diserahkan kepada Jabatan Mufti Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd. Ghani berkata, Jabatan Mufti Kedah akan memutuskan tindakan sewajarnya ke atas pendakwah itu, susulan kenyataan berkenaan, berikutan hanya jabatan terbabit ada kuasa untuk melaksanakan tindakan, hasil keputusan siasatan dilakukan itu.

“JHEAIK menasihatkan mana-mana pendakwah tidak membuat kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kegusaran awam khususnya umat ,” katanya.

Akhbar ini, baru-baru ini melaporkan JHEAIK menjalankan siasatan terhadap pendakwah terbabit berkaitan video ucapannya.

Video berdurasi 1.31 minit itu tular di media sosial sejak minggu lalu, memaparkan kisah ‘Paksu Mid solat Jumaat bersama bunian’ dipercayai dirakam dalam satu majlis ilmu. – UTUSAN





Source link