Malaysia Oversight

Jenazah Syamsul Haris dikeluarkan Jumaat ini

By MkiniBM in August 27, 2025 – Reading time 2 minute
Jenazah Syamsul Haris dikeluarkan Jumaat ini


Jenazah kadet Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, akan digali semula pada pagi Jumaat ini, kata peguam keluarga terbabit.

Mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini, Naran Singh berkata proses di Tanah Perkuburan Kampung Rinching Ulu di Semenyih itu akan berlangsung dengan kehadiran ibu pemuda terbabit, Ummu Hamman Bee Daulatgun; pakar forensik, Dr Bhupinder Singh; pihak berkuasa serta Jabatan Agama .

“Mayat itu kemudian akan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejurus selepas itu untuk bedah siasat kedua.

“Saya percaya polis juga akan mengepung kawasan sekitar pada hari tersebut,” katanya.

Naran Singh turut memuji Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, terutama pengarahnya M Kumar, atas tindakan pantas mereka membentuk pasukan khas menyiasat kematian Syamsul Haris.

Penggalian pada 29 Ogos itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang menyaksikan Pesuruhjaya Kehakiman Bhupindar Singh Gurchahan Singh Preet membenarkan permohonan Ummu Hamman Bee.

Dia juga mengarahkan Ketua Polis Negara atau pegawainya untuk mengawasi penggalian itu dan menjalankan bedah siasat kedua pada hari penggalian

Bhupindar Singh juga mengarahkan supaya bedah siasat diadakan dengan kehadiran Naran dan Dr Bhupinder, selain membenarkan laporan daripada pakar patologi forensik disampaikan dalam tempoh yang munasabah.

Salinan laporan itu juga diarah agar diberikan kepada Naran Singh.

Ummu Hamman Bee memfailkan permohonannya pada 14 Ogos lalu dengan menamakan Ketua Polis Negaram, Khalid Ismail, dan Peguam Negara Dusuki Mokhtar, sebagai responden selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena berikutan kesan kecederaan pada mayat anaknya.

Dalam permohonan itu Ummu Hamman Bee mengesyaki terdapat unsur jenayah dalam kematian Syamsul Haris yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.



Source link