Malaysia Oversight

Jenazah Nurul Nur Syamira selamat dikebumikan

By Utusan in September 13, 2025 – Reading time 2 minute
Jenazah Nurul Nur Syamira selamat dikebumikan


BAGAN SERAI: Jenazah Nurul Nur Syamira Khamis, 28, wanita yang ditikam dalam kejadian di Taman Nona, Guar Chempedak, Alor Setar di Kedah semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Protan, Selinsing di sini malam ini.

Jenazah selesaikan dikebumikan pada pukuk 9.23 malam dengan dihadiri lebih 50 orang yang terdiri daripada saudara mara dan penduduk kampung.

Terdahulu, suasana hiba menyelubungi Masjid Nurul Jannah, Kampung Sungai Protan, Selinsing, apabila jenazah Nurul Nur Syamira tiba di pekarangan masjid itu pada pukul 8.09 malam selepas selesai bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Sear.

Tangisan ahli keluarga, terutama nenek dan ibu saudara Allahyarham jelas kedengaran sebaik sahaja jenazah dibawa turun dari van jenazah sebelum dibawa masuk ke ruang solat masjid.

Ada yang tidak mampu berdiri, malah rebah dalam pelukan sanak saudara mengenangkan kejadian yang menimpa Nurul Nur Syamira.

Penduduk kampung termasuk dari kawasan berhampiran menunaikan solat jenazah, sebelum jenazah diusung sejauh kira-kira 300 meter ke Tanah Perkuburan Kampung Sungai Protan.

Tepat pukul 9.23 malam, jenazah selamat disemadikan di tanah perkuburan yang sama dengan pusara ibu Allahyarham atas permintaan keluarga.

Semalam, Nurul Nur Syamira ditemukan mati dengan kesan tikaman dalam sebuah kereta jenis Proton Wira di Taman Nona, di Alor Setar kira-kira pukul 9 malam.

Turut ditemukan ialah tunangnya, Ku Asyraf Ku Shuib, 30, yang akibat ditikam kira-kira 500 meter dari lokasi pertama.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohd Hamizi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai diserang oleh individu dikenali rapat dengan mereka. – UTUSAN





Source link