Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyuarakan rasa kecewa mereka dengan kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melibatkan pemain warisan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT Luis Garcia berkata apa yang berlaku menyebabkan penggantungan tiga pemain skuad kebangsaan yang bermain untuk JDT.
“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan para pemain terbabit dapat kembali mewakili JDT dalam masa terdekat,” katanya di media sosial JDT petang ini.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam sebelum JDT beraksi menentang kelab handalan Jepun FC Machida Zelvia dalam aksi Liga Juara-juara AFC Elit di Iskandar Puteri malam ini.
JDT akan beraksi tanpa tiga tonggak penting mereka iaitu penyerang Joao Figueiredo, pertahanan Jon Irazabal dan pemain tengah Hector Hevel, sementara proses rayuan FAM.
FAM kelmarin mengumumkan mengenal pasti kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.

FAM bagaimanapun menegaskan bahawa pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.
FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain yang turun dikenakan tindakan itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, yang beraksi di peringkat tinggi di Eropah dan Amerika Latin.
Proses naturalisasi pemain-pemain di atas antara ‘revolusi’ Harimau Malaya dalam misi layak ke Piala Asia serta menghuni tangga 100 terbaik dunia, yang digerakkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang juga pemilik JDT.






