ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar untuk menumpaskan UM-Damansara United 0-5 yang mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Pada perlawanan ini, pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz membuat rombakan dalam kesebelasan utama yang berdepan Negeri Sembilan FC, Selasa lalu dan hanya mengekalkan Moussa Sidibe dalam pasukan.
Bagaimanapun, JDT yang beraksi sebagai pasukan pelawat tampak bergelut untuk mengatasi pasukan Liga A1 Semi Pro itu.
Jentera serangan JDT dibarisi Sidibe, Bergson Da Silva dan Romel Morales masing-masing mempunyai peluang untuk mencipta jaringan namun gagal merobek gawang pasukan lawan.
Jonathan Silva turut mempunyai peluang gol setelah menerima hantaran Afiq Fazail namun tandukan yang dilakukan jauh tersasar dari pintu gol lawan.
Nasib JDT berubah selepas pasukan kendalian Ridzuan Abu Shah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas kapten, Hariz Mansor ditunjuk jalan keluar apabila dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan terjahan keras terhadap Teto Martin.
Beraksi dengan 10 pemain menjadi terlalu sukar buat UM-Damansara United yang diasak hebat JDT dari pelbagai sudut.
Gawang pasukan tuan rumah itu akhirnya bolos hasil jaringan Jonathan yang menerima umpanan Shahrul Saad dan melepaskan rembatan deras menewaskan Ameerul Eqhwan Mohd. Fauzi pada minit ke-45.
Bersambung babak kedua, JDT yang berkelebihan seorang pemain meningkatkan rentak permainan mengasak pasukan lawan untuk memburu tambahan gol.
Gol yang diburu tercipta pada minit ke-54 apabila Silva menambah jaringan peribadinya apabila menyudahkan hantaran silang Enzo Lombardo dengan menanduk masuk bola menerjah gawang lawan.
Pada minit ke-78, Martin menambah derita pasukan tuan rumah apabila melepaskan sepakan voli dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0.
JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-89 selepas Izaaq Izhan Yuswardi melakukan kekasaran terhadap Antonio Glauder dan Joao Figueiredo tidak berdepan masalah menyudahkan sepakan penalti itu.
Sebelum perlawanan tamat, Celso Bermejo yang membuat penampilan pertama bersama JDT melebarkan kedudukan buat Harimau Selatan apabila meledak gol kelima pada masa kecederaan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi timbal balik pada 12 September ini.-UTUSAN