Malaysia Oversight

JDT benam Shanghai Shenhua 3-1, lonjak tangga kedua Zon Timur

By Utusan in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
JDT benam Shanghai Shenhua 3-1, lonjak tangga kedua Zon Timur


PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan kelebihan bermain di laman sendiri dimanfaatkan sebaik mungkin apabila berjaya menewaskan Shanghai Shenhua 3-1 pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan melonjak ke tangga kedua kumpulan selepas mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Kemenangan JDT dibantu menerusi dua gol daripada Jonathan Silva dan satu lagi disumbangkan Oscar Arribas untuk memastikan skuad kendalian Xisco Munoz mengulangi keputusan sama ke atas kelab itu musim lalu.

Babak pertama berakhir tanpa jaringan meskipun kedua-dua memiliki beberapa peluang namun buntu menemui sentuhan gol.

Memasuki babak kedua, usaha tuan rumah mencari gol pembukaan terhasil menerusi gerakan lincah Arif Aiman Hanapi yang memperdaya dua pertahanan pelawat sebelum melakukan umpanan kepada Silva untuk merobek gawang dikawal penjaga gol Shenhua, Bao Yaxiong pada minit ke-47.

Tersentak dengan gol itu, pelawat hampir menyamakan kedudukan lima minit kemudian hasil sepakan ledakan Andre Luis, namun pengadil perlawanan, Adham Makhadmed dari Jordan membatalkan jaringan itu selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Luis Asue terlebih dahulu mengasari penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre.

Aribas berjaya menggandakan kedudukan buat JDT pada minit ke-63 menerusi rembatan kencang ke penjuru kiri gawang Shanghai Shenhua.

Pelawat bagaimanapun, berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi sepakan penalti yang disudahkan Saulo Mineiro pada minit ke-71 selepas semakan VAR mengesahkan bentesan Natxo Insa terhadap Li Ke di dalam kotak penalti.

Silva memastikan kebangkitan pelawat terpadam apabila sekali lagi menemui sentuhan gol pada minit ke-87 apabila menyudahkan lorongan Arif Aiman menerusi rembatan kencang yang menggegar gawang Shenhua pada minit ke-87.

Kemenangan bergaya itu bukan sahaja mengekalkan reputasi Stadium Sultan Ibrahim sebagai kubu kebal Harimau Selatan, tetapi turut membuktikan JDT kini berada di landasan tepat memburu slot ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit.-UTUSAN





Source link