Malaysia Oversight

JDT belasah Sabah FC 8-0

By Utusan in September 21, 2025 – Reading time 3 minute
JDT belasah Sabah FC 8-0


ISKANDAR PUTERI: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan skuad The Rhinos tersungkur di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini selepas mencatatkan kemenangan besar 8-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026.

Duo penyerang kelahiran Brazil, Joao Figueiredo dan Bergson Da Silva muncul wira apabila meledak hatrik ketika membantu pasukan membelasah Sabah FC.

Pada perlawanan sama, Bergson turut mengukir sejarah apabila muncul penjaring terbanyak liga sepanjang zaman apabila meledak gol ke-109 peribadinya dalam tempoh lebih empat tahun bersama JDT.

Keputusan itu memastikan skuad kendalian Xisco Munoz mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Liga Super, nasib berbeza dialami Jean-Paul Marigny yang terus kempunan meraih kemenangan.

Seperti kebiasaannya, skuad Harimau Selatan bermula garang sebaik minit pertama dan memberi tekanan hebat hingga memaksa kepada pasukan lawan hingga berkampung di kawasan sendiri.

Pasukan tuan rumah berjaya membuka jaringan seawal minit keenam berpunca daripada larian lincah Arif Aiman Hanapi dari sayap kanan dan menghantar bola kepada Figueiredo sebelum mengumpan bola kepada Oscar Arribas yang membuat rembatan deras menewaskan Khairul Che Mat.

Bergson Da Silva hampir menambah jaringan buat JDT namun Khairul bertindak pantas menutup ruang buat penyerang kelahiran Brazil itu.

Lima minit berselang, giliran Arribas pula membuat bantuan gol kepada Figueiredo dengan melorongkan bola kepada pemain kelahiran Brazil itu meledak gol kedua perlawanan mengatasi Khairul pada minit ke-11.

Pada minit ke-23, pemain berusia 29 tahun itu meledak gol kedua peribadinya pada perlawanan itu setelah menyudahkan umpanan cantik Arif Aiman dari bahagian kanan.

Skuad The Rhinos terus dirundum malang apabila pasukan tuan rumah terus menambah jaringan, kali ini menerusi rembatan jarak dekat oleh Raul Parra yang tidak dikawal dalam kotak penalti pada minit ke-44.

Sebelum tamat babak pertama, Figueiredo melengkapkan jaringan hatrik setelah menyempurnakan umpanan Arribas dengan bersahaja apabila mrnguis bola menggunakan tumit bagi menambah derita pasukan Sabah.

Bersambung babak kedua, benteng pertahanan pasukan pelawat tampat lebih kemas dalam mengekang serangan JDT yang terus dahagakan jaringan.

Pemain import, Ager Aketxe melakukan percubaan dari luar kotak penalti namun rembatan yang dilepaskan tepat ke arah Khairul Fahmi pada minit ke-51.

Pada minit ke-60, pengadil perlawanan Mohd. Fusser Mad Sallih menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah setelah R. Dinesh menjatuhkan Bergson dalam kotak penalti.

Pemain berusia 34 tahun itu tidak berdepan tugas sukar menyudahkan sepakan penalti itu sekali gus mengatasi rekod jaringan Liga Super terbanyak sepanjang zaman yang dipegang Indra Putra Mahayuddin dengan 106 jaringan.

Bergson menambah gol kedua peribadinya pada perlawanan itu apabila melonjak tinggi menanduk bola hasil sepakan penjuru yang diambil Arif Aiman menerjah gawang Sabah pada minit ke-74.

Sabah hampir memperoleh gol saguhati pada minit terakhir permainan namun rembatan kencang yang dilepaskan Fergus Tierney dari jarak dekat sedikit tersasar.

Sebelum Mohd. Fusser membunyikan wisel penamat, Bergson melengkapkan jaringan hatrik apabila menyudahkan hantaran Arif Aiman dengan melepaskan rembatan deras menewaskan Khairul Fahmi pada masa kecederaan. – UTUSAN





Source link