PARLIMEN | Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen akan memanggil wakil daripada Kementerian Pendidikan dan polis untuk memberi penerangan berkenaan standard keselamatan di sekolah.
Pengerusi jawatankuasa itu, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) langkah untuk memanggil mereka dibuat susulan kes pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Selangor hari ini.
“Kes ini berlaku hanya seminggu selepas insiden rogol beramai-ramai di sekolah di Melaka…ini satu kegilaan. Persoalan ramai ibu bapa, termasuk saya, adakah sekolah masih selamat untuk anak-anak kita?
“Penyata (cabang) legislatif soal kedua. Apa yang paling utama, cabang eksekutif perlu bertindak cepat untuk menjadikan sekolah kembali selamat untuk anak-anak kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shamsudin Mamat dilaporkan mengesahkan bahawa walaupun motif pembunuhan pelajar berusia 16 tahun itu masih dalam siasatan, tiada petunjuk menunjukkan ia melibatkan unsur buli.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 9.30 pagi apabila suspek berusia 14 tahun dipercayai membawa objek tajam – disyaki sebilah pisau – ke sekolah sebelum menyerang rakan sekelasnya.
Shamsudin berkata suspek akan direman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok.
Ketika ditanya R Yuneswaran (PH-Segamat) jika dia akan menggesa Kementerian Pendidikan untuk mengambil tindakan tegas – termasuk dengan menamatkan perkhidmatan – terhadap pegawai atasan yang terlibat dalam kes jenayah di sekolah, Yeo menyatakan dia bersetuju dengan cadangan itu.
“Saya rasa mesti ada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk kejadian-kejadian beasr seperti ini. Kita tak boleh lagi terlalu berlembut dengan pegawai atau sesiapa pun yang terlibat dalam kes-kes ini kerana anak kita yan akan cedera,” katanya lagi.
Dalam nada yang sama, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata Kementerian Pendidikan perlu lebih tegas dalam menangani kes buli dan serangan di sekolah.
‘You touch, you rogol, you stay?’
Syed Saddiq memberi peringatan yang kenyataan yang dilihat sambil lewa boleh terus menjejaskan kepercayaan antara ibu bapa dan pihak berkuasa.
Bekas menteri belia dan sukan itu menegaskan masyarakat kini mempunyai tanggapan negatif terhadap pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pelajar sekolah akibat kurangnya tindakan yang sewajarnya.
Kekecewaan itu, katanya lagi, kian meningkat susulan kenyataan tertentu yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan sebagai respons kepada kes yang berlaku ke atas pelajar sekolah.
“Dulu kita ada dasar ‘you touch, you go’ (untuk kes buli), tapi kini persepsi luar yang dikongsikan kepada saya adalah ‘you touch, you rogol, you stay’.
“Ini kerana lambatnya (pihak bertanggungjawab) bertindak dan dengan kenyataan yang curang cermat, persepsi sebegini timbul, yang jika tidak diurus akan menyebabkan ibu bapa hilang hormat,” katanya lagi.
Keselamatan pelajar ketimbang reputasi sekolah
Jelas kelihatan kecewa, Syed Saddiq turut mengecam reaksi Kementerian Pendidikan dalam wawancara atau kenyataan media berkaitan kes buli atau rogol di sekolah.
“(Kementerian) mesti akan bangkitkan nama baik sekolah (atau kata) ini sekolah terbaik. Siapa peduli tentangnya?
“Kalau dah ada orang kena rogol, kena buli, nama sekolah sudah tak penting. Apa yang penting adalah nyawa dan keselamatan anak-anak kita di situ,” katanya sambil disambut sorakan ahli Parlimen yang lain.
“Kenyataan yang dikeluarkan menteri dan kementerian harus tegas, hantarkan mesej jelas bahawa buli, sekecil mana pun, tidak akan ditolak ansur.
“Kalau tersalah cakap, walau dengan niat yang baik, persepsi (buruk) akan berlarutan,” katanya lagi.
Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Hariz Mohd, Dania Kamal Aryf, Haspaizi Zain






