Malaysia Oversight

Jawatankuasa kuil tolak tawaran RM1 juta Jakel

By MkiniBM in January 16, 2026 – Reading time 3 minute
Jawatankuasa kuil tolak tawaran RM1 juta Jakel


Jawatankuasa kuil Dewi Sri Pathrakaliamman menolak “tawaran muhibah” Jakel’s Trading sebanyak RM1 juta untuk memindahkan premisnya dengan segera dalam tempoh tujuh hari, dengan menekankan bahawa tuntutan syarikat itu bertentangan dengan aku janji .

Setiausaha kuil, G Kaarthik, bagi pihak jawatankuasa pengurusan kuil, mengingatkan bahawa arahan Mac 2025 oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Zaliha Mustafa, menawarkan komitmen untuk memastikan kuil itu tidak akan dipindahkan sehingga proses penempatan semula ke premis barunya selesai sepenuhnya.

“Kami ambil perhatian bahawa sehingga kini, Jakel Trading tidak membantah perjanjian dan aku janji pada Mac 2025.

“Oleh itu, kami amat kesal dengan tuntutan anda yang tiba-tiba dan tidak munasabah agar kami mengosongkan tanah tersebut, tanpa menghiraukan dan bercanggah aku janji kerajaan,” katanya dalam sepucuk surat hari ini, yang ditujukan kepada pengarah syarikat, Faroz Jakel dan Nizam Jakel.

Semalam, Kaartik memberitahu Malaysiakini bahawa dia akan mendapatkan nasihat undang-undang selepas menerima notis untuk segera mengosongkan kuil mereka daripada petak tanah milik syarikat tekstil itu di Jalan Munshi Abdullah di Kuala Lumpur.

Notis 13 Januari yang dilihat oleh Malaysiakini menggesa kerjasama segera, dan menyatakan bahawa kerja-kerja pembangunan akan dimulakan dalam tempoh sebulan.

Syarikat tekstil itu juga berkata ia telah memperuntukkan RM1 juta, yang mungkin akan dikeluarkan oleh peguam Jakel pada bila-bila masa setelah pengesahan bahawa kuil itu telah mengosongkan sepenuhnya tapak tersebut.

Mereka memberi amaran bahawa kegagalan untuk mematuhi notis itu akan menyebabkan syarikat itu tidak mempunyai apa-apa alternatif selain menarik balik tawarannya dan mengambil tindakan undang-undang yang perlu untuk menguatkuasakan haknya sebagai pemilik tanah.

Nizam mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

3c016aba807f8a002e9bd1c3eb82eb70
Nizam Jakel

Sementara itu, Kaarthik menekankan bahawa tiada sebarang kelewatan dalam usaha kuil untuk memindahkan premisnya.

Walau bagaimanapun, dia menekankan bahawa meskipun terdapat penglibatan berterusan dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan sejak April 2025, mereka hanya menerima kelulusan untuk pelan bangunan baru pada November 2025, dan tanah baru itu diwartakan untuk kegunaan kuil pada 10 Disember tahun lepas.

“Dan hanya semalam, 15 Januari 2026, kami diberitahu melalui e-mel bahawa pemilikan kosong plot tersebut telah siap. Pendek kata, kami telah cuba teruskan pemindahan secepeat mungkin sejak tahun lepas,” katanya.

Tambahan pula, Kaarthik turut melahirkan kebimbangan terhadap ugutan Jakel jika jawatankuasa kuil gagal mematuhi tuntutan mereka.

Dia menyifatkan bahasa sedemikian sebagai “tidak sesuai dan tidak boleh diterima”, serta “menentang dan mengabaikan aku janji kerajaan”.

Dia turut menegur dakwaan syarikat tekstil itu bahawa mereka telah menerima arahan pembangunan dan pelan bangunan untuk projek baru mereka di tapak tersebut, dengan menyatakan bahawa kelulusan sedemikian juga melanggar arahan kerajaan.

“Jika kelulusan sedemikian telah diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tanpa pengetahuan kami, kerajaan wajib membatalkannya, kerana kerajaan terikat dengan aku janji 25 Mac 2025.

“DBKL sebagai badan kerajaan tidak boleh bertindak menentang aku janji awam yang dibuat oleh kerajaan sendiri,” tegasnya.

Semalam, Kaarthik turut mempersoalkan komitmen kerajaan dan mengingatkan kerajaan untuk memenuhi janjinya kepada jawatankuasa pengurusan kuil.

Pertikaian mengenai tanah kuil mendapat perhatian negara tahun lalu apabila Lawyers for Liberty, bersama bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan, secara terbuka mengkritik rancangan Jakel Trading untuk membangunkan sebuah masjid di atas tanah tersebut.

Projek ini memerlukan penempatan semula kuil itu, yang kekal di lokasi asalnya di sepanjang Jalan Bunus Enam, bertentangan dengan Jakel Mall.

Penyokong pemeliharaan kuil memetik sejarahnya yang panjang, mengatakan bahawa kuil itu berasal dari era penjajahan British dan telah menjadi tempat ibadat selama beberapa generasi.

Walau bagaimanapun, pengkritik berhujah bahawa kuil itu tidak mempunyai tuntutan undang-undang ke atas tanah itu, yang dijual oleh DBKL kepada Jakel, dan oleh itu harus dipindahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan.

Berikutan bantahan orang ramai, perbincangan telah diadakan yang melibatkan Jakel, jawatankuasa kuil, dan DBKL, dan selepas itu Dewan Bandaraya bersetuju untuk memindahkan kuil tersebut ke tapak kira-kira 50 meter dari lokasi semasa, dalam kawasan Jalan Masjid India yang sama. Ini juga dipersetujui oleh pengerusi kuil.

Walaupun pelan penempatan semula telah diumumkan, kuil tersebut belum dipindahkan secara fizikal dan terus beroperasi di tapak asalnya sementara menunggu pengaturan penempatan semula dimuktamadkan.



Source link