Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru hari ini mengemukakan tujuh tuntutan kepada kerajaan sebagai penyelesaian isu melibatkan tanah di petempatan di tengah Kuala Lumpur itu.
Pengerusinya, Zainab Alias, berkata gesaan utama mereka ialah supaya satu inkuiri mengikut Bab 4 Kanun Tanah Negara dijalankan segera.
Kata Zainab, tuntutan itu dibuat kerana dokumen rasmi dan peta menunjukkan Kampung Sungai Baru merupakan kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS) iaitu tanah rezab Melayu.
Dengan status itu, katanya, ia harus dilindungi daripada sebarang bentuk pengambilan secara sewenang-wenangnya.
Katanya semua pembangunan yang sedang dilaksanakan perlu digantung sehingga siasatan selesai dan keputusan dicapai.
“Sekiranya disahkan tanah tersebut adalah rizab Melayu, penduduk menuntut agar tanah itu dipulangkan kepada mereka dan sebarang pembangunan masa depan hanya dijalankan dengan penglibatan penduduk serta inisiatif kerajaan,” katanya dalam sidang media bersama NGO Lawyers For Liberty di Petaling Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Zainab berkata, jawatankuasa itu juga menuntut kerajaan mengadakan rundingan yang wajar bagi pihak penduduk dengan pihak pemaju.
“Sekiranya pihak kerajaan gagal mengarahkan inkuiri seperti dituntut, maka warga Kampung Sungai Baru akan berkumpul di Kementerian Wilayah Persekutuan bagi menuntut keadilan pada 7 Mei ini,” katanya.
Sementara itu Penasihat LFL, N Surendran, berkata Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Baru turut mendesak agar peruntukan kontroversi dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 dikaji semula dan seksyen 3(1)(c) yang disifatkan menindas serta membuli rakyat di negara ini agar dipinda atau dimansuhkan segera.
Tak pernah batal secara rasmi
Katanya, pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru oleh kerajaan tidak sah apabila satu dokumen rasmi kerajaan menunjukkan kawasan itu masih berstatus tanah rizab Melayu.
Surendran yang juga peguam dan aktivis hak asasi berkata, semakan yang dibuat oleh jawatankuasa terbabit jelas membuktikan bahawa kawasan itu tergolong sebagai MAS yang diwartakan sebagai rizab Melayu sejak 1932.
“Kami memiliki dokumen rasmi dan peta kerajaan yang jelas menyatakan Kampung Sungai Baru terletak dalam kawasan Malay Agricultural Settlement.
“Warta ini masih berkuat kuasa dan tidak pernah dibatalkan secara sah oleh mana-mana pihak berkuasa negeri atau Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Surendran mendakwa, jika status rizab itu masih berkuat kuasa maka segala proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah tidak sah dan perlu dibatalkan serta-merta.
“Kami menyifatkan ini pelanggaran serius terhadap hak pemilik asal tanah. Akta Pengambilan Tanah tidak boleh digunakan sesuka hati ke atas tanah rizab yang tidak pernah dibatalkan statusnya secara rasmi,” katanya.
Surendran turut memetik keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2007 yang menyatakan status rizab Melayu kekal sah walaupun tanah tersebut telah diambil untuk pembangunan, melainkan jika dibatalkan melalui proses yang sah disisi undang-undang.
Surendran juga mendakwa kerajaan hari ini gagal menjalankan siasatan terperinci berhubung status sebenar tanah sebelum memulakan proses pengambilan, malah sehingga kini tidak memberi sebarang maklum balas terhadap pendedahan awam yang telah dibuat sejak Dis 2024.
“Ini bukan hanya soal pampasan, tetapi soal hak dan kelangsungan warisan tanah orang Melayu di tengah ibu kota.
“Kami mendesak kerajaan menjalankan siasatan rasmi di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara dan mengambil tindakan segera untuk membetulkan ketidakadilan ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru — yang merangkumi rumah teres dan flat — mencetuskan perdebatan apabila segelintir penduduk membantah pampasan yang dianggap tidak setimpal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menjelaskan di Parlimen pada Dis lalu, pembangunan tersebut hasil rundingan bersama antara pemilik dan pemaju tanpa paksaan atau tekanan.
Bayaran pampasan bagi pengambilan tanah juga sudah disalurkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat antara Feb 2022 hingga Jan 2023.