PRK AYER KUNING | PAS membidas kenyataan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berhubung dakwaan pencemaran di Sungai Bidor yang berpunca dari sebuah ladang babi berdekatan di Kampung Poh.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyifatkan jawapan yang diberikan Saarani sebagai “memalukan” dan tidak menjawab dakwaan yang dibangkitkan PN dalam sidang media semalam.
“Jawapan Menteri Besar Perak gagal menjawab pelepasan efluen dari sisa kumbahan najis ladang babi yang disalirkan terus ke Sungai Bidor.
“Menteri Besar Perak gagal menjawab adakah ladang itu berlesen dan kedudukan 140 meter dari petempatan terdekat majoriti Melayu-Islam diluluskan oleh kerajaan negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Idris juga mengkritik sindiran Saarani berhubung kedudukan Kampung Poh yang tidak termasuk dalam kawasan DUN Ayer Kuning.
“Saya nak tanya (Saarani) adakah dia Menteri Besar untuk DUN Ayer Kuning sahaja?
“Sekiranya pencemaran ini berlaku di luar DUN Ayer Kuning, adakah tidak mengapa?” soal Idris.
Dia membangkitkan semula dakwaan PN bahawa Sungai Bidor mengalir ke kawasan Ayer Kuning, dan menjadi tempat rekreasi dan sumber air kedua buat “majoriti” penduduk Ayer Kuning.
Semalam, Saarani berkata dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan PN berhubung sebuah ladang babi di Kampung Poh mencemarkan Sungai Bidor.
Saarani berkata dia tidak ingin mengulas isu itu dengan lebih lanjut, dengan PN dilihat memainkan isu tersebut untuk kepentingan politik di tengah kempen PRK Ayer Kuning.
Terdahulu, PN mendakwa memiliki bukti saintifik yang menunjukkan sungai itu tercemar ekoran kegiatan ladang babi yang tidak bertanggungjawab.
“Ujian mengesahkan bahawa efluen yang dilepaskan (dari ladang babi) ke Sungai Bidor tidak dirawat dan dibuang terus ke dalam sungai,” kata Idris pada sidang media semalam.
PN telah memfailkan laporan polis berhubung perkara itu, dan dijangka membuat laporan pada SPRM hari ini.