Malaysia Oversight

JAS Kelantan pantau aktiviti mendulang emas

By Utusan in December 12, 2025 – Reading time 2 minute
JAS Kelantan pantau aktiviti mendulang emas


KOTA BHARU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memantau aktiviti mendulang emas di negeri ini selaras dengan kebenaran yang telah diberikan oleh negeri.

Pengarahnya, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, ia akan dilakukan menerusi operasi bersepadu dari semasa ke semasa bersama agensi berkaitan lain yang dipertanggungjawabkan berkaitan perkara tersebut.

“Setakat aktiviti mendulang tanpa melibatkan penggunaan pam ia tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Operasi Bersepadu ‘Ops Gerak Kenderaan Motor’ Sempena Hari Ozon Sedunia 2025 di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Aminordin memberitahu, mesyuarat berkaitan garis panduan antara JAS dengan pihak berkaitan sudah diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.

Katanya, syarat berkaitan aktiviti mendulang itu akan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Utusan Malaysia 3 Disember lalu melaporkan, lesen mendulang emas hanya akan diberikan kepada rakyat bagi membolehkan mereka menikmati sebahagian hasil mineral yang ada di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, permohonan mendapatkan lesen itu boleh dibuat bermula Januari depan melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri atau jajahan.

Katanya, negeri akan mengenakan bayaran sebanyak RM100 kepada rakyat untuk mendapatkan lesen.-UTUSAN

 





Source link