Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, membidas cadangan ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menggesa Putrajaya supaya melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Razlan yang juga Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan pilihan raya PBT yang termaktub dalam manifesto PH dan hanya boleh dilaksanakan jika parti terbabit membentuk kerajaan secara bersendirian.
Tegasnya, cadangan untuk mengadakan pilihan raya PBT adalah agenda dan manifesto kerajaan PH, bukannya termasuk dalam agenda kerajaan perpaduan dan ia dibentuk oleh pelbagai rakan gabungan termasuk BN.
“Kerajaan hari ini terbentuk bukan atas majoriti PH semata-mata. Jika PH menang majoriti seperti pada tahun 2018, bolehlah ahli-ahli Parlimen PH melaksanakan manifesto mereka.
“Buat masa ini, pilihan raya PBT bukanlah perkara yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan. Malah, pelaksanaan kuota Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) sendiri masih tidak berjaya dan mencapai objektif; pekeliling yang dirangka secara bertulis pun tidak dipatuhi dengan baik,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Razlan berkata adalah lebih baik kerajaan semasa memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan kebajikan rakyat berbanding membincangkan pilihan raya PBT.
Hal itu kerana, dakwa Razlan, idea pilihan raya PBT itu adalah “perkara yang melangit” namun “belum tentu membawa manfaat kepada masyarakat.”
Pada 26 Ogos lalu, media melaporkan ahli-ahli parlimen Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kuala Lumpur mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan reformasi tadbir urus bandar raya melalui pelaksanaan pilihan raya PBT.
Kata mereka, ia selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu tanah di ibu negara.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata BBC Kuala Lumpur menyokong laporan PAC, termasuk cadangan mengembalikan jawatan Pengerusi Wilayah Persekutuan kepada menteri yang bertanggungjawab.
Nik Nazmi menganggap cadangan PAC itu merupakan satu titik permulaan ke arah pelaksanaan reformasi lebih menyeluruh terhadap pentadbiran Kuala Lumpur.
“Berbeza dengan PBT lain, Datuk Bandar Kuala Lumpur memegang kuasa yang jauh lebih besar. Kini hanya ada Lembaga Penasihat tanpa sistem semak dan imbang.
“PAC mencadangkan sistem ahli majlis dilantik seperti yang diamalkan di negeri-negeri lain.
“Kami di peringkat ahli parlimen penyokong kerajaan juga berpandangan bahawa perbincangan awal boleh dimulakan ke arah pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur,” katanya.