PUTRAJAYA: Mana-mana pihak diingatkan tidak cuba menunggang isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru sehingga menjurus kepada ketidaktenteraman awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau kesal dan kecewa tindakan beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan provokasi semasa proses pengosongan tapak dijalankan, sehingga menghalang tugas penjawat awam.
“Apa yang dijalankan semalam adalah proses undang-undang yang mengikut tata caranya iaitu proses pengosongan berdasarkan perintah dikeluarkan mahkamah dan dilakukan oleh bailif mahkamah.
“Kita nak pastikan semuanya berlaku dengan cara baik tetapi saya kesal dan kecewa atas apa yang terjadi semalam. Saya dimaklumkan apa yang berlaku itu (dicetuskan) oleh mereka yang bukan penduduk di situ pun, ini sangat mengganggu.
“Saya juga tahu siapa sebenarnya yang di luar sana itu, di luar kawasan tersebut yang melakukan propaganda,” katanya menerusi sidang akhbar khas di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru apabila sekumpulan individu mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan berkenaan.
Mengulas lanjut, Zaliha turut mengecam kenyataan pihak tertentu yang cuba menyamakan situasi yang berlaku di Kampung Sungai Baru dengan konflik yang sedang berlaku di luar negara.
Tambahnya lagi, kerajaan juga sentiasa bersedia mendengar pandangan daripada semua pihak termasuk penduduk yang tidak bersetuju dengan pembangunan tersebut, namun mengingatkan agar sebarang bantahan harus disalurkan mengikut saluran bersesuaian.
“Sebenarnya penduduk tidak menolak pembangunan, ini memang disebut oleh penduduk sendiri, tapi yang dipertikaikan ketika itu ialah masalah pampasan, jika berkenaan pampasan kalau tidak puas hati lagi maka proses yang boleh dilakukan adalah melalui mahkamah.
“Kita hendak memberiksan keselesaan kepada penduduk yang sebelum ini kita tengok kehidupannya agak tidak selesa. Dan saya rasa apabila siap projek pembangunan itu nanti, ia akan memartabatkan kehidupan orang-orang kampung di situ. Takkan kita taknak tengok orang kita sendiri khususnya orang Melayu mendapat kehidupan seperti itu?,” katanya. – UTUSAN