Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad menasihatkan masyarakat Orang Asli agar tidak mudah terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang membawa agenda tersendiri.
Saarani berkata demikian ketika mengulas dakwaan pihak berkuasa negeri itu gagal melindungi tanah adat Orang Asli di Kampung Chang Lama, Bidor daripada pencerobohan syarikat kuari, Siong Emas Sdn Bhd.
“Saya nasihatkan Orang Asli jangan sangat terpengaruh dengan apa-apa dakyah yang tak betul.
“Kita nak bangunkan negeri termasuk bangunkan Orang Asli,” katanya kepada media selepas menghadiri satu program di Sekolah Menengah Sains Tapah, hari ini.
Enggan turun padang jika dakwaan tidak berasas
Apabila ditanya jika dia bercadang untuk melawat sendiri penduduk Orang Asli di Kampung Chang Lama, Saarani merujuk kepada kenyataan terdahulunya bahawa jabatan negeri telah menafikan sebarang pencerobohan oleh syarikat swasta terbabit.
“Kalau betul ada berlaku (pencerobohan) saya kena turun.
“Tapi kalau tidak ada nak turun buat apa lagi” soalnya.
Pada 19 April lalu, Saarani memaklumkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah memaklumkan kepadanya bahawa dakwaan pencerobohan itu tidak berasas.
Syarikat pula dakwa Orang Asli ceroboh
Terdahulu, Tok Batin Kampung Chang Lama, Dahil Yok Chopil mendakwa penduduk kampung menemui beberapa papan tanda bertulis nama syarikat berkenaan di kawasan Jegog, dengan amaran penceroboh akan didakwa.
Dia berkata tindakan itu jelas melanggar prinsip Pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) yang menuntut persetujuan bebas, terlebih dahulu dan dimaklumkan daripada komuniti Orang Asli — yang menurutnya tidak pernah diberikan.
Dalam reaksi balas, Pengarah Urusan Siong Emas, Tan Ee Tiam menafikan dakwaan penduduk dan sebaliknya mendakwa komuniti Orang Asli itu pula yang telah menceroboh tanah syarikat terbabit.
Tan berkata syarikat itu memiliki geran tanah sah bagi Lot 16225 di Batang Padang yang berkeluasan 2.832 hektar.