TOLAK tepi nama 6ixth Sense sudah sedia ada megah atau karya mereka sudah diiktiraf di majlis anugerah berprestij negara. Namun bagi band yang dianggotai lima jejaka iaitu Adi Priyo (vokalis), Gjie (gitaris), Wan (pemain dram), Ayoy (bass), dan Atan (gitaris), mereka percaya muzik harus bersifat menyentuh sanubari pendengar tidak kira siapapun mereka.
Oleh itu, mereka merasakan artis-artis tempatan perlu meluaskan pengaruh muzik sedia ada dengan membuat persembahan di gig anak muda. Bagi 6ixth Sense, tindakan ‘turun padang’ ke festival atau acara diselenggara anak muda telah membuka mata mereka terhadap potensi besar yang dimiliki peminat generasi baru yang kurang diberi perhatian di industri muzik arus perdana.
“Album terakhir kami, 7Belas, adalah satu karya eksperimental dari segi muzik. Walaupun sambutannya tidak semeriah album-album terdahulu, tapi ia mempertemukan kami dengan ramai budak-budak indie yang selama ini tidak pernah dengar pun lagu-lagu kami,” katanya Adi mewakili 6ixth Sense.
Tambah Adi, kemunculan 6ixth Sense di pentas gig Atas Angin tahun lalu boleh dianggap sebagai ‘salam pembukaan’ kepada generasi muda yang baru sahaja mendengarkan lagu-lagu dari band finalis Anugerah Juara Lagu ke-34 itu.
“Itu kali pertama kami masuk gig bawah pengurusan anak muda dan tiket terus sold out. Masa itu baru kita fikir betapa berpengaruhnya scene indie anak muda. Kami bersyukur kerana mereka memberikan kami peluang itu.
“Scene indie anak muda ini ramai yang minat dan bersemangat tentang muzik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Malah menurut Adi, penyertaan mereka dalam acara tersebut bukan sekadar mengekalkan peminat sedia ada, malah berjaya menarik kelompok baharu khususnya dari kalangan penuntut kolej dan universiti.
“Budak-budak kolej hari ni, ramai yang tak pernah dengar lagu kami sebelum ini. Tapi bila mereka datang ke show, mereka jerit, nyanyi sekali. Kami terkejut sebab 80 peratus daripada mereka adalah wanita bertudung,” katanya.
Dalam pada itu, 6ixth Sense yang terkenal dengan lagu Khatimah Cinta itu mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memilih tawaran sebaliknya berani untuk melakukan eksplorasi jemputan yang datang daripada pentas-pentas kecil seperti gigi jalanan sehinggalah festival makanan yang dekat dengan hati masyarakat.
“Saya rasa, sebagai artis, kita tak boleh terlalu memilih. Kadang-kadang ada show macam food fest, ramai artis tak nak turun. Tapi sebenarnya di situlah kita boleh temui peminat,” ujarnya.
Mengimbau satu pengalaman menarik, Adi berkongsi detik tidak dijangka ketika mereka menjayakan persembahan di Bertam Street Market, Pulau Pinang. Sambutan begitu hangat sehingga pihak berkuasa terpaksa menutup jalan selama 15 minit kerana semakin ramai yang datang menyaksikan persembahan mereka.
“Terus terang saya sendiri tak yakin masa itu. Tapi bila kami perform, seramai 8,000 orang turun ke jalan raya. Mereka tutup jalan semata-mata untuk show kami. Bayangkan, pentas di tepi jalan pun boleh jadi ‘konsert’. Itu pengalaman yang tak boleh kami lupakan,” jelasnya.
Selain festival makanan, 6ixth Sense turut gembira menerima jemputan persembahan daripada anak-anak muda di universiti. Namun Adi berharap, agar pihak penganjur bertindak profesional dan tidak membatalkan jemputan saat akhir.
“Ada kampus yang tinggal seminggu lagi nak buat show, tiba-tiba batalkan. Sedangkan kami dah tolak tawaran lain demi anda. Situasi begini sangat mengecewakan. Kita harap mereka lebih profesional,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, 6ixth Sense kini dalam fasa awal merancang penghasilan album baharu. Walaupun belum menetapkan tarikh rasmi, mereka menjangkakan untuk menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah single menjelang penghujung tahun ini.
“Kami dah ada momentum sekarang. Kemudian tahun depan, insya-Allah akan ada konsert penuh,” katanya menutup temu ramah.-UTUSAN