Malaysia Oversight

Jangan simpan bawah karpet insiden gangguan seksual, buli

By MkiniBM in October 14, 2025 – Reading time 2 minute
Jangan simpan bawah karpet insiden gangguan seksual, buli


Hanya dalam tempoh tiga bulan selepas dilantik, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Mohd Azam Ahmad berkata dia mendapati banyak insiden negatif seperti gangguan seksual dan buli “disimpan di bawah karpet”.

Dia mengingatkan bahawa semua insiden negatif mesti dilaporkan dan menjadi tanggungjawabnya mendedahkan perkara seumpamanya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Jika semua mahu disimpan dalam karpet, seolah-olah hanya perkara baik sahaja yang ada… tetapi hakikatnya ada sesuatu yang berlaku.

“Ini umpama duri dalam daging dan umpama bom atom yang hanya tunggu untuk meletup sahaja. Ia memang menyedihkan (kes negatif di sekolah) dan tiga bulan saya memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah, banyak data dalam gejala ini saya kutip,” katanya dipetik Berita Harian.

Dia berkata demikian pada majlis pelancaran Program Kempen Anti Buli anjuran Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 2 Okt lepas, empat remaja di Melaka ditahan kerana didakwa merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga di dalam kelas.

Polis memperoleh perintah reman enam hari terhadap suspek pada 11 Okt lepas. Mereka disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol beramai-ramai.

Mengulas lanjut, Azam memberi amaran kepada pentadbir sekolah serta pengarah pendidikan negeri dan daerah supaya memainkan peranan dalam mengatur strategi ke atas sistem pendidikan dan perwatakan pelajar.

“Mereka perlu lebih energetik dan strategik dalam mengurus perkara ini kerana anak-anak hari ini bukan seperti dahulu, di mana kita ketandusan maklumat tetapi hari ini, adanya limpahan maklumat yang terlalu banyak, sehingga ia mengancam manusia termausk pelajar,” katanya.

Dia juga seterusnya melahirkan rasa gembira apabila isu sebegini terbongkar dan menarik perhatian umum.

“Dari perhatian, kita mula sedar, perlunya ada inisiatif baharu untuk kita bangunkan program bagi mendidik generasi muda hari ini,” katanya.



Source link