PEKAN: Pemuda UMNO Pekan berpendirian tegas bahawa Program Matrikulasi mesti kekal di bawah Kementerian Pendidikan dan tidak dipindahkan ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd. Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, program ini diwujudkan pada 1999 hasil kertas Kabinet yang digagaskan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Menteri Pendidikan sebagai laluan khas dan pantas untuk pelajar Melayu dan bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Lebih 750,000 pelajar sudah dilahirkan melalui program ini majoritinya anak bumiputera dari luar bandar dan keluarga B40. Inilah saluran mobiliti sosial paling berkesan untuk rakyat negara ini.
“Kami juga menolak sebarang desakan untuk menambah kuota bukan bumiputera dalam program ini. Kuota 90 peratus bumiputera dan 10 peratus bukan bumiputera mesti dikekalkan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Fakhrul Akhmal berkata, jika kerajaan ingin menyusun semula laluan ke IPTA, buatlah kajian menyeluruh terhadap semua sistem pra universiti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi, diploma, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan sebagainya tetapi jangan sentuh Matrikulasi.
“Jangan sekali-kali gadai masa depan pendidikan anak-anak Melayu dan bumiputera atas nama ‘penyelarasan sistem’. Jangan menang sorak, kampung tergadai,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang dilaporkan sebagai berkata, usaha reformasi yang digerakkan kerajaan tidak akan terhenti di sini, malah akan terus diperluas bagi memastikan kelayakan para pelajar diiktiraf secara menyeluruh melalui mekanisme pendaftaran automatik dan sistem mata merit yang lebih adil.
Kah Woh berkata, reformasi pendidikan yang dirancang akan menumpukan kepada pengiktirafan pelbagai pencapaian pelajar termasuk mereka yang memperoleh 10A, memiliki mata merit yang tinggi serta menunjukkan prestasi cemerlang dalam aktiviti kokurikulum.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan itu, antara langkah awal yang telah dimulakan ialah menyelesaikan isu berkaitan Matrikulasi secara tuntas, demi menjamin ketelusan dan keadilan kepada semua pihak yang terlibat. – UTUSAN