Peruntukan persekutuan kepada Sabah yang lebih tinggi berbanding hasil yang dikutip daripada negeri itu bukan alasan untuk tidak menunaikan kewajiban mengembalikan 40 peratus hasil tersebut kepada Sabah, kata seorang peguam.
Bekas Presiden Sabah Law Society (SLS) Roger Chin berkata perbelanjaan persekutuan tidak seharusnya dianggap sebahagian daripada geran khas untuk Sabah.
“Kerajaan Persekutuan tidak boleh campur aduk perbelanjaan biasa dengan kewajiban perlembagaannya.
“Wang yang dibelanja untuk sekolah, hospital, jalan raya atau keselamatan adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan Persekutuan kepada seluruh rakyat Malaysia di bawah sistem persekutuan – bukan sebahagian daripada geran khas 40 peratus yang secara khusus untuk Sabah,” katanya kepada Malaysiakini.
“(Peruntukan) Perlembagaan bukan tentang kemurahan hati. Ia tentang kewajiban, ketelusan dan penghormatan kepada janji yang menubuhkan Malaysia,” katanya lagi.

Chin mengemudi SLS ketika badan itu memfailkan semakan kehakiman yang membawa kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil negerinya.
Chin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berhubung hak tersebut.
Ketika ditanya orang awam berhubung bila kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawab perlembagaannya, Anwar berkata kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM17 bilion untuk Sabah, berbanding RM10 bilion yang diperolehi daripada negeri itu.
Menurut Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, bahagian hasil 40 peratus itu sepatutnya dibayar dalam bentuk geran khas yang akan berada di bawah kawalan penuh Sabah.
Dalam Belanjawan 2026, Anwar berkata geran khas untuk Sabah ialah sebanyak RM600 juta.
Berdasarkan angka kutipan RM10 bilion yang disebut Anwar, geran khas bahagian hasil 40 peratus sepatutnya berjumlah RM4 bilion.
Hari ini, Anwar juga berkata jumlah pembayaran masih dalam perbincangan dan kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi atau tidak.






