MUKTAMAR PAS | Dewan Pemuda PAS menekankan bahawa partinya perlu mendekati pengundi muda di alam maya.
Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudeen berkata sejumlah besar rakyat yang mengundi PAS pada pilihan raya yang lalu merupakan “generasi digital”.
“Dalam kalangan pengundi bukan ahli parti yang mengundi PAS ada pelbagai kategori. Ada yang hidup dengan media sosial seperti TikTok. Kita berdepan dengan pengundi yang sedang hidup dengan dunia AI (kecerdasan buatan) dan merupakan generasi digital yang peka perkembangan semasa, suka membuat perbandingan, dan suka didengari.
“Bagi mereka, hanya mendengar sudah cukup melegakan hati mereka. Disebabkan dunia digital dan AI yang begitu dahsyat, kita mesti tampil memimpin untuk memberitahu mana fakta dan mana auta.
“PAS bukan sahaja boleh memimpin dalam alam nyata, tapi juga mesti memimpin dalam dunia maya dan membentuk algoritma yang baik. Jangan pelik, pada pilihan raya akan datang, anak muda akan tanya ChatGPT untuk memilih calon.
“Dia tak hirau dah kepada kempen, kepada poster, kepada banner dan kepada billboard. Dia tak pandang semua itu. Mereka akan tanya ChatGPT dan GPT pula bertindak memberi jawapan berdasarkan input algoritma,” katanya dalam ucapan penggulungan di Mukmatar PAS, di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, Kedah hari ini.
Tambahnya, PAS mesti menjadi “feeder” (penyumbang) utama untuk membentuk algoritma media sosial supaya orang melihat PAS dengan wajah yang betul.
Afnan yang juga ahli parlimen Alor Setar menegaskan bahawa PAS perlu menggunakan pendekatan berbeza dalam usaha menerajui anak muda sambil memberi contoh gimik aksi tiga motosikal Yamaha RX-Z ketika perasmian muktamar sayap PAS itu pada Jumaat.
“Sebagai contoh, Pemuda PAS membawa tiga buah motor RXZ dalam muktamad yang mendapat liputan meluas di media arus perdana dan sosial. Ini adalah cara anak muda hari ini berpolitik.
“Kita suka, kita tak suka… kita setuju, kita tak setuju…kita ada hujah, ataupun kita tak ada hujah itulah cara mereka berpolitik,” katanya.