PAS bukan satu-satunya parti yang menerima dana daripada Bersatu, kata ketua penerangan parti itu, Tun Faisal Ismail Aziz.
Menurutnya, bahawa semasa pilihan raya negeri Sabah pada 2020, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin – yang ketika itu perdana menteri – turut memberikan RM10 juta kepada Umno.
“Waktu Muhyiddin menjadi PM dan Bersatu jadi kerajaan, dia beri bantuan kepada sesiapa sahaja termasuk Umno dan BN, yang tidak bertanding di bawah bendera Perikatan Nasional dan yang (akhirnya) mengkhianati dia.
“Semua calon PN menerima bantuan yang selayaknya daripada Muhyiddin. Serupalah macam dalam PRN Sabah dulu, apabila Umno/BN tidak cukup dana untuk PRN dan Annuar Musa minta bantuan, Annuar diberi bantuan RM10 juta,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.
Dia mendakwa wang itu kemudiannya diserahkan oleh seorang pembantu Annuar kepada pegawai presiden Umno, Zahid Hamidi, di Hotel Magellan di Sabah.
Tun Faisal ketika itu merupakan orang yang dekat dengan Annuar.
Dia berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan setiausaha agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, yang semalam mendakwa pembiayaan Bersatu untuk perbelanjaan pilihan raya PAS pada PRU lalu adalah pengesahan kepada “khabar angin” tentang mengapa parti Islam itu meninggalkan kerjasamanya dengan Umno.

Asyraf ketika itu adalah ketua Pemuda Umno semasa PRN Sabah 2020.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata bahawa Muhyiddin telah menyalurkan dana kepada Umno walaupun menyedari khabar angin bahawa Zahid dan beberapa ahli Parlimen Umno lain merancang untuk mengkhianatinya.
“Semua bantuan dan dana ini Muhyiddin berikan secara senyap-senyap tanpa perlu merendah-rendahkan dan menghina sesiapa,” tambahnya.
PN kini berada di ambang perebutan kuasa, dengan PAS berusaha mengambil alih kepimpinan gabungan pembangkang itu.

Semasa muktamar PAS baru-baru ini , pengarah pilihan raya parti itu Sanusi Nor membuat sindiran halus kepada Bersatu, dengan mendakwa parti itu bergantung kepada dana PAS untuk kerja-kerja pilihan raya.
Semalam, bekas pembantu Muhyiddin, Marzuki Mohamad, membalas dengan mendakwa PAS menerima “sumbangan kewangan besar” daripada presiden Bersatu itu pada PRU15, yang menyumbang kepada kejayaan parti berkenaan dalam pilihan raya tersebut.