PARLIMEN | Putrajaya harus mengelak membebankan rakyat dengan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang tinggi, kata Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).
Walaupun ketua BN Sabah itu mengakui bahawa cukai adalah langkah yang perlu untuk kerajaan menjana pendapatan dan melaksanakan pembangunan transformatif, dia berhujah bahawa levi sebegitu tidak sepatutnya dikenakan pada kadar yang akan memberi tekanan kepada rakyat.
“Kerajaan sekarang ini pun mewujudkan sistem cukai yang orang di luar kata cukai SST ini semua kena, dari orang proses, pembekal dan peruncit semua orang kena,” kata Bung di Parlimen semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Dia menambah bahawa sejak peluasan skop SST dilaksanakan pada 1 Julai, rakyat terpaksa mengeluarkan lebih banyak untuk perbelanjaan.
“Ini adalah perkara yang kerajaan mesti lihat secara adil. Ya, kita memerlukan cukai kerana negara tidak akan dapat melakukan perubahan tanpanya, tetapi cukai itu tidak boleh membebankan rakyat,” tegasnya.

Di bawah skop SST yang diperluas, cukai jualan sifar peratus ke atas barang keperluan dikekalkan manakala cukai antara lima dan 10 peratus dikenakan ke atas barangan bukan keperluan.
Skop cukai perkhidmatan juga diperluaskan untuk merangkumi enam perkhidmatan baru: pajakan atau penyewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.
Kerajaan menjangkakan SST yang diperluaskan akan meningkatkan hasil sebanyak RM5 bilion tahun ini, dan sebanyak RM10 bilion pada 2026.
Bung juga menggesa kerajaan untuk membanteras penyeludupan barangan terlarang ke negara ini, termasuk rokok seludup dan alkohol.
“Kerajaan harus tahu arak, rokok haram diseludup begitu berleluasa. Ini tidak mendatangkan apa-apa ekonomi kepada kerajaan.
“Saya tahu mereka sedikit ini berleluasa seluruh negara, mereka mengaut berbillion keuntungan. Saya bukan tuduh agensi kjaan kita tidak telus, tapai kalau satu bulan 30 kali dia lepaskan, yang dia tangkap 1, 2 kali, macam dummy saja, yang 28 itu sudah berlalu,” katanya.
Dia turut memuji Ketua Pengarah Agensi Kawalan Sempadan dan Perlindungan, Shuhaily Zain, memuji bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu kerana mengambil tindakan tegas bagi memastikan agensi itu bersedia untuk menjalankan tugasnya.
“Walaupun dia keras tapi pada saya itu merupakan tindakan yang wajar untuk ingatkan kepada pekerja-pekerja dia, pegawai-pegawai dia bahawa negara kita ini perlukan pegawai yang tegas dan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, tidak boleh dibeli begitu saja,” katanya.
Shuhaily sebelum ini memberi amaran berhubung sindiket “counter setting”, mengingatkan bahawa tiada toleransi terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan di bawahnya jika mereka didapati bersalah melakukan salah laku atau rasuah.
Dia juga berkata bahawa salah satu matlamatnya semasa memegang jawatan itu adalah untuk mengubah pegawai agensi itu supaya mampu mengendalikan tugas untuk pelbagai agensi sambil serba boleh dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.