Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengingatkan agar Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, tidak dijadikan satu-satunya sasaran tindakan penguatkuasaan berhubung insiden Jalur Gemilang terbalik di Pulau Pinang.
Menurut Mohamad, undang-undang mesti dikuatkuasakan dengan adil terhadap semua pihak yang terlibat.
“Apa jua dalam dunia ini, setiap tindakan akan ada reaksi. Kita tidak mahu perkara ini menjadi satu saingan luar kawalan.
“Saya harap semua pihak bertenang. Dr Akmal telah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.
Mohamad berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau di sebuah hotel di Seremban, Negeri Sembilan.
Mengenai himpunan dipimpin Akmal di Kepala Batas, Mohamad menegaskan bahawa Adun Merlimau itu hadir dengan “misi damai” dan bukannya untuk menimbulkan kekacauan.
Namun, katanya lagi, Akmal telah diprovokasi dan bernasib baik kerana tiada perkara buruk yang berlaku.
Dia juga menekankan yang penguatkuasaan perlu konsisten.
“Undang-undang berkenaan pemasangan bendera telah pun ada. Jika ada pihak yang memasang bendera secara tidak betul, tindakan sepatutnya diambil.
“Kita tidak boleh hanya ambil tindakan terhadap satu pihak, sedangkan yang lain dibiarkan. Kalau pemuda (Umno) perlu bertindak sendiri, maka apa gunanya kita ada agensi penguatkuasaan?” soalnya lagi.
Mohamad turut memberi peringatan agar lambang negara tidak mempermainkan kerana ia boleh mencetuskan kemarahan rakyat.
“Ada orang sangat sensitif dengan lambang negara. Kalau panji-panji negara diperlakukan sedemikian rupa, pasti ada yang akan marah.
Nasihat kepada DAP
Dia menggesa DAP untuk menasihati sayap pemudanya supaya “lebih rasional” dan mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh menggugat kerajaan perpaduan.
“Kalau tidak, nanti akan ada perkara yang boleh mengeruhkan usaha kita mengurus negara bersama.
“Apa sahaja yang baik untuk negara mesti dilakukan. Malaysia ini negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Kita perlu sangat berhati-hati dalam tindakan.
“Kalau di negara satu bangsa pun boleh berlaku perang saudara, bayangkan di Malaysia yang masyarakatnya sangat rencam,” katanya lagi seperti dipetik.