PAS menempelak kenyataan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Singapura, K Shanmugam, yang dilihat cuba mengaitkan parti Islam itu dengan isu politik dalaman republik tersebut.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menegaskan bahawa republik itu perlu menangani masalah domestiknya sendiri tanpa menjadikan pihak luar sebagai kambing hitam.
“PAS menolak sekeras-kerasnya percubaan mana-mana pihak untuk menjadikan parti ini sebagai boogeyman politik demi kepentingan partisan di Singapura.
“PAS tidak akan membiarkan naratif palsu yang menggambarkan pandangan rentas sempadan sebagai ancaman keselamatan demi keuntungan politik jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Takiyuddin itu susulan ucapan Shanmugam di Parlimen Singapura, semalam yang menggesa ahli politik negaranya menjauhkan diri daripada politik perkauman dan agama, serta menolak campur tangan luar dalam proses pilihan raya republik itu.
Shanmugam turut merujuk kepada beberapa “insiden membimbangkan” semasa Pilihan Raya Umum Mei lalu, termasuk kenyataan tokoh agama bebas Noor Deros dan beberapa ahli politik PAS yang dikatakan menggesa pengundi Melayu-Islam menyokong calon Parti Pekerja.
Katanya, tindakan sedemikian dianggap sebagai cubaan mencampuri urusan politik dalaman Singapura, sambil menggesa parti-parti tempatan supaya menolak secara “jelas dan tegas” sebarang pengaruh luar.
Namun, bagi PAS, dakwaan itu bersifat berlebihan dan tidak berasas.
Menurut Takiyuddin, tindakan melabel pandangan rentas sempadan sebagai “campur tangan asing” hanya akan menyempitkan ruang wacana awam dan menjejaskan kedudukan Singapura sebagai negara terbuka dan berdaya saing.
“Jika konektiviti digital dilihat sebagai saluran campur tangan, maka jawapan logiknya ialah memutuskan hubungan dengan dunia – sesuatu yang mustahil bagi ekonomi terbuka seperti Singapura,” katanya.
Takiyuddin menyifatkan langkah menyalahkan pihak luar sebagai taktik politik klasik untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu sebenar dalam negara.
“Ia jalan pintas politik yang menukar usaha penyelesaian jangka panjang kepada kesatuan sementara menentang musuh yang direka,” tegasnya.
Menegaskan pendirian PAS, Takiyuddin berkata parti itu sentiasa menghormati prinsip kedaulatan negara lain dan tidak pernah mencampuri urusan pilihan raya mana-mana negara jiran. Semua pendekatan, katanya, dilakukan melalui saluran rasmi dan sah.
Namun, dia menuntut agar prinsip timbal balik juga dihormati.
“Jangan cipta musuh yang tidak wujud, dan jangan gunakan undang-undang untuk membungkam pandangan yang sah,” katanya lagi.
Ucapan Shanmugam mengenai bahaya politik identiti datang ketika Singapura berdepan tekanan meningkat terhadap isu hubungan kaum dan agama, terutama selepas PRU2025 republik itu menyaksikan peningkatan pengundi muda yang lebih lantang mengenai representasi Melayu-Muslim.






