PASIR SALAK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pemimpin parti politik agar membezakan antara isu perundangan dan politik demi mengekalkan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap sebarang pelanggaran, manakala isu politik wajar diselesaikan melalui saluran politik yang sewajarnya.
“Kita tidak mahu sesuatu peristiwa memaksa keputusan politik dibuat kerana ini boleh menggugat kesepaduan 18 parti dalam Kerajaan MADANI. Pada hemat saya, kita mesti mengasingkan soal perundangan dan politik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Santunan Desa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Perak Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Basional Nasional (BN) menasihati semua pihak supaya mematuhi keputusan parti untuk mengekalkan toleransi antara parti komponen.
“Jangan hanya cuba mempopularkan sesuatu isu atau mahu menjadi individu yang paling popular, sehingga menjejaskan hubungan baik antara pemimpin parti dan akar umbi,“ katanya – BERNAMA