Malaysia Oversight

‘Jangan anggap kami tak ada otak’

By MkiniBM in April 30, 2025 – Reading time 2 minute
'Jangan anggap kami tak ada otak'


Seorang lelaki Orang Asli membidas Saarani Mohamad dengan mengingatkan Menteri Besar Perak itu agar tidak menghina kemampuan mereka mempertimbangkan sesuatu perkara sendiri.

“Tuduhan menteri besar konon kami bersuara sebab dihasut dan terpengaruh dengan dakyah orang adalah satu penghinaan terhadap kami. Seolah-olah kami tidak ada otak untuk berfikir apa baik dan buruk untuk kami.

“Kami bukan bersuara untuk pekan Bidor, Tapah atau Ipoh. Kami bersuara untuk tempat di mana kami telah tinggal sejak turun temurun,” kata Man Badai, seorang penduduk Kampung Chang Lama, dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 April, Saarani menggesa masyarakat Orang Asli di kawasan itu supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yang menurutnya mempunyai agenda sendiri.

Menteri besar itu berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa pihak berkuasa negeri itu gagal melindungi tanah pusaka Orang Asli di Kampung Chang Lama, Bidor, daripada syarikat kuari Siong Emas Sdn Bhd.

Menafikan terdapat sebarang pencerobohan tanah, Saarani juga mengetepikan soalan sama ada dia akan melawat tempat itu, dengan alasan jabatan negeri telah menafikan dakwaan berkenaan.

Man mengingatkan Saarani bahawa masyarakat Orang Asli tidak pernah mengganggu ketenteraman warga kota.

b564e00000455551541a86cbdf4e598b
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad

Namun, mereka yang dikatakan bertamadun dari bandar sentiasa mengganggu kehidupan mereka yang aman sehingga kini mereka menghadapi masalah untuk meneruskan kehidupan.

“Kata kononnya semua sekolah tinggi, hidup tak perlu bergantung kepada tanah, boleh cari makan dan kekayaan di bandar. Tetapi kenapa semua orang luar ini beli tanah dan buat projek di atas Tanah dan wilayah adat kami?

“Gunalah pendidikan tinggi kamu, kebijaksanaan kamu untuk membina empayar kekayaan di bandar, ternak , buat kuari dan lain-lain projek di bandar. Kenapa harus di tempat Orang Asli?” tambahnya.

Sementara itu, Man turut mengecam beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menunaikan janji yang dibuat kepada masyarakat Orang Asli sejak 2008.

Menyebut exco negeri Perak A Sivanesan, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran dan bekas Ahli Parlimen Low Gow Burne, Man mengenang kembali bagaimana janji untuk menjadikan Kampung Chang Lama sebagai tanah rizab Orang Asli semasa sambutan Hari Komuniti Orang Asli Perak.

“Dan disebabkan percaya kepada janji ini lah setiap kali pilihan raya kami selalu membantu kempen supaya Pakatan Harapan menang.

“Kerana kami berharap mereka tunaikan janji tersebut untuk rizabkan wilayah tanah adat kami apabila mereka menjadi semula.

“Sekarang ini mereka masih dalam exco negeri dan ada yang sudah jadi menteri. Di mana mereka, kenapa mereka senyap? Usahkan nak rizab tanah dan wilayah adat kami, nak bersuara membela kami bila masalah ini timbul pun tiada.

“Adakah mereka takut bersuara kerana takut jawatan tinggi mereka hilang?” soalnya.



Source link