NGO Perkasa menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil dan menyeluruh terhadap kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dalam poster program anjuran kerajaan PAS Terengganu.
Presidennya Syed Hassan Syed Ali menegaskan prinsip keadilan mesti ditegakkan tanpa memilih bulu atau kecenderungan politik pihak yang terlibat.
“Isu-isu sensitif seperti ini yang rasanya telah melanggar peraturan atau undang-undang, semua sama.
“Kalau PAS buat silap pun, polis kena siasat, siasatlah,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media Himpunan Melayu Berdaulat, hari ini.

Tambahnya, pendirian Perkasa konsisten dalam semua isu berkaitan sensitiviti nasional dan tidak berpihak, termasuk kepada PAS.
Dia turut merujuk beberapa insiden terdahulu yang menerima perhatian pihak berkuasa seperti siasatan terhadap akhbar berbahasa Cina, penganjuran pesta makanan bayi, dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kalau akhbar Cina kena soal siasat, KPM kena siasat, pesta makanan bayi pun ada isu bendera… (kes PAS) ini sama juga,” katanya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan gesaan agar pengurusan akhbar Sin Chew Daily memecat dua pengarangnya susulan kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka depan akhbar pada 18 April lalu.

Ketua Pemuda Perkasa, Zool Amali Hussin bersama lapan aktivis lain turut menolak permohonan maaf akhbar tersebut.
“Tiada maaf bagimu,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Syed Hassan menegaskan sekiranya terdapat unsur kesengajaan dalam isu seperti menaikkan bendera parti di premis kerajaan maka siasatan perlu dijalankan secara telus.
“Saya tidak membela mana-mana pihak. Kalau rasa perkara itu perlu disiasat, siasatlah dengan betul-betul. Jika didapati bersalah, ambillah tindakan,” katanya lagi.