Semua masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah mengadakan solat hajat sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan dan kesejahteraan Masjid al-Aqsa serta rakyat Palestin.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu juga bertujuan memohon perlindungan Allah SWT atas segala ujian dan musibah yang dihadapi umat Islam di bumi Palestin.
Mohd Na’im turut menyeru semua jabatan agama Islam negeri mengambil inisiatif yang sama dengan menganjurkan solat hajat dan doa munajat di seluruh negara.
“Marilah kita, seluruh umat Islam, memperkukuh doa, solidariti dan sokongan moral terhadap perjuangan mempertahankan Masjid al-Aqsa yang menjadi lambang maruah serta kesucian umat Islam sejagat,” katanya.
Mohd Na’im turut menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan terhadap laporan terbaru media antarabangsa mengenai keadaan tempat suci Islam itu yang kini berdepan risiko runtuh akibat kerja-kerja penggalian agresif oleh rejim Zionis Israel di sekitar dan bawah kawasan Kota Lama Baitulmaqdis.
“Sesungguhnya, Masjid al-Aqsa bukan sekadar bangunan bersejarah, tetapi kiblat pertama umat Islam dan antara tiga masjid suci yang dimuliakan dalam Islam.
“Setiap inci tanahnya adalah lambang tauhid, kesatuan dan maruah umat Islam sedunia. Oleh itu, keselamatan serta kesejahteraannya mesti dipelihara dan dipertahankan,” katanya.
– Bernama






