Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menafikan telah memberikan kelulusan penuh terhadap program motivasi kontroversi eHati yang berlangsung di IDCC Shah Alam, sambil menegaskan bahawa penganjur gagal mengemukakan modul lengkap untuk semakan.
Penjelasan ini hadir selepas pengasas bersama eHati International Sdn Bhd, Diyana Tahir dan Rahim Shukor mendakwa pada 15 Julai lalu program mereka telah mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa agama — sehari sebelum mereka ditahan dan direman oleh polis Shah Alam atas dakwaan mengamalkan ajaran sesat.
Pengarah Jais Shahzihan Ahmad menjelaskan penglibatan jabatan itu hanya terhad kepada satu sesi penjelasan pada 15 November 2022, susulan aduan program tersebut mengandungi unsur yang dikatakan bercanggah dengan prinsip Islam.
“Pengadu pada masa itu mendakwa terdapat aktiviti yang bersalahan dengan hukum syarak berlaku dalam program tersebut.

“Dalam sesi penjelasan yang diadakan, Panel telah diserahkan dengan video yang digunakan oleh penganjur yang mengandungi kaedah self-pleasure bagi wanita untuk tujuan merapatkan hubungan antara suami isteri,” kaanya pada satu kenyataan hari ini.
Dia berkata panel hanya memberikan maklum balas bersyarat — program boleh diteruskan dengan syarat semua kandungan yang bertentangan dengan syariah digugurkan.
Katanya penganjur turut diminta merujuk pihak berkuasa agama atau pakar bagi memastikan kepatuhan penuh terhadap ajaran Islam.
“Penganjur juga diminta meletakkan Disclaimer yang menyatakan bahawa video tersebut (merujuk kepada video yang dirujuk oleh Panel Sesi Penjelasan) adalah untuk kegunaan suami isteri sahaja,” kata jabatan bitu lagi.
Nasihat itu kata Jais diberikan kepada penganjur sebagai langkah untuk mengekang apa- apa tindakan yang melanggar hukum syarak dalam rakaman video yang digunakan.
Bagaimanapun menurut Shahzihan, Jais menafikan bahawa penafian yang disarankan oleh Panel Sesi Penjelasan itu membuktikan bahawa keseluruhan modul atau aktiviti program eHati yang dibuat di IDCC Shah Alam itu telah dibenarkan oleh jabatan kerajaan.
“Jais yakin sekiranya syarikat tersebut mematuhi ketetapan yang dibuat oleh Panel Sesi Penjelasan pada tahun 2022, sudah pasti insiden yang didakwa berlaku dalam program eHati di IDCC Shah Alam tidak akan terjadi,” katanya lagi.
Tambahnya, penganjur tidak pernah menghantar modul lengkap program untuk semakan selepas sesi libat urus pada tahun 2022 walaupun telah dinasihatkan supaya berbuat demikian.
Program tersebut yang dipercayai diadakan pada September tahun lalu, mencetuskan kontroversi selepas seorang pengguna Facebook mendakwa ia melibatkan perbuatan tidak senonoh seperti berbogel di khalayak, meminum cecair tidak dikenalpasti dan penglibatan dalam ritual yang meragukan.
Antara dakwaan mengejutkan pengasas jenama dan fasilitator membuka pakaian di hadapan peserta serta menggalakkan mereka meminum cecair misteri yang didakwa mempengaruhi emosi.
Susulan itu, polis telah menahan Diyana, Rahim dan empat individu lain, yang kesemuanya menafikan tuduhan tersebut.
Namun, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan elemen berbogel memang merupakan sebahagian daripada pakej yang ditawarkan dalam program itu.
Aktiviti bogel dijalankan di bawah Pakej B, yang dikenakan bayaran RM9,000, katanya kepada pemberita berhubung siasatan yang sedang berjalan.
Sebagai reaksi kepada skandal itu, Shahzihan berkata Jais telah diarahkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk meneliti dan memperkemas garis panduan penganjuran program kerohanian dan keagamaan.
Jelasnya ini bertujuan menghasilkan rujukan yang lebih menyeluruh bagi penganjur program berbentuk keagamaan di Selangor.
Dia turut menyeru masyarakat Islam di negeri itu agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kandungan agama yang meragukan atau belum disahkan kepada pihak Jais.