Lapan suspek, termasuk seorang wanita yang dipercayai pengikut ajaran sesat ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’, ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) petang kelmarin.
Mereka yang berusia antara 45 hingga 66 tahun, ditahan di sebuah bekas gudang perabot dekat Kampung Sungai Putat, Jerantut.
Pengarah Jaip, Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata ketua kumpulan yang dikenali dengan panggilan ‘Ayahanda’ turut ditahan semasa pemeriksaan jam 2.30 petang Jumaat itu.
“Susulan penahanan dan hasil pemeriksaan di lokasi terbabit, pihak penguat kuasa Jaip menemui dan merampas pelbagai dokumen bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya menerusi satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Ahmad Khirrizal menjelaskan, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan dipercayai berunsur khurafat, antaranya tongkat, ikatan kain kuning dan kain hitam, batu berlilit kain kuning, pelekat tertera ‘solat jamak fardu seumur hidup’, nota bertulis lafaz selawat beserta ikrar meragukan, serta sebuah komputer riba.
“Hasil siasatan awal, ketua kumpulan berusia 45 tahun itu berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut, dan bekerja sendiri. Dia dipercayai menyewa premis bekas gudang perabot yang diubah suai sebagai tempat tinggal bersama empat anaknya, berusia lapan hingga 15 tahun.
“Tujuh pengikut ajaran sesat itu pula terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri dan penganggur — dengan kebanyakannya berasal dari luar Pahang — dan turut tinggal di situ,” katanya.
Ahmad Khirrizal memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak Jaip bagi mengenal pasti sejak bila kegiatan itu wujud, selain mengesan individu lain yang mungkin terbabit dengan kumpulan berkenaan.
Tambahnya, ketua dan ahli kumpulan itu kini disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.
“Semua suspek dibebaskan semalam dengan jaminan pegawai penguat kuasa Jaip sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan,” tambahnya.
Ahmad Khirrizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan kumpulan ini supaya tampil membantu siasatan.






