Malaysia Oversight

JAINJ arah masjid, surau laksana solat hajat dan doa selamat

By TheSun in August 29, 2025 – Reading time 2 minute
JAINJ arah masjid, surau laksana solat hajat dan doa selamat


JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Negeri Johor (JAINJ) mengeluarkan arahan kepada 1,038 masjid dan surau Jumaat di negeri itu supaya melaksanakan solat hajat serta doa selamat berikutan gempa bumi lemah terbaharu di Segamat awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia akan dilaksanakan selepas solat Jumaat hari ini bagi memohon perlindungan dan keselamatan rakyat di daerah berkenaan dan seluruh Johor amnya.

“Semoga Allah memperkenankan doa kita semua, amin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin dalam kenyataan berkata tiada kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini susulan gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4 pada skala Richter di Segamat pada 4.24 pagi tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah berkata orang awam diminta melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa dan dinasihatkan supaya bertenang serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

“Perkembangan terkini boleh didapati menerusi sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) atau agensi lain,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa keselamatan dan agensi berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di Segamat terutama orang awam berada dalam keadaan selamat.

Gempa bumi yang berpusat di koordinat 2.7° Utara dan 102.9° Timur, kira-kira 22 kilometer (km) timur laut dari Segamat, dengan kedalaman 10 km awal pagi tadi merupakan gegaran keempat direkodkan di daerah itu dalam minggu ini.

MetMalaysia memaklumkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Johor.

Sebelum ini, Segamat merekodkan tiga kejadian gempa bumi lemah masing-masing pada 24, 27 dan 28 Ogos dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1 – BERNAMA



Source link