Malaysia Oversight

Jaga muka, binasa diri: Budaya berhutang untuk majlis

By MkiniBM in August 22, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


ULASAN | Keghairahan orang Melayu untuk menganjurkan majlis besar-besaran sehingga perlu berhutang sudah makin merepek dan melampau.

Bukan sahaja berhutang untuk kahwin, tapi majlis yang dulunya kita buat secara kecil-kecilan pun sekarang orang kita mahu bermegah.

Beberapa hari lepas, saya baca di laman forum Reddit berkenaan seorang anak muda, dengan gaji hanya RM2,500 sebulan, meminta nasihat selepas ibunya meminta bantuannya untuk mengambil pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 atas namanya – dengan janji yang ibunya akan menanggung bayaran bulanan.

Asbab utamanya? Abang kepada anak muda itu baru sahaja mendapat cahaya mata pertama, dan ibu bapanya mahu menjaga air muka dengan besan mereka yang ingin mengadakan majlis cukur jambul.

Benar, cukur jambul adalah mengikut sunnah Rasulullah.

Tapi mengapa perlu mengadakan majlis di luar kemampuan, sedangkan menunaikan kewajiban ibadah Haji – rukan kelima – pun bersangkut kepada kemampuan?

Sama ada cukur jambul, merisik, bertunang, nikah ataupun kenduri kahwin, berbaloikah berhutang semata-mata kerana mahu menunjuk-nunjuk atau menjaga air muka?

Berbaloikah berhutang bertahun-tahun untuk majlis yang semegah mana pun, kebanyakan para hadirin pasti akan lupakan lepas seminggu?

Kita mahu ikut influencer atau selebriti, tapi tidak fikir yang mereka itu berupaya dan majlis mereka ada penaja.

Tambah-tambah lagi kita orang Melayu tidak ada budaya menghadiahkan wang seperti kaum Cina.

Bagi majlis perkahwinan orang Melayu, jika belanja RM15,000, salam kaut belum tentu boleh dapat RM2,000.

Jika pasangan mempelai itu berhutang untuk majlis itu, maka mereka memulakan hidup bersama dengan defisit kewangan. Itu belum lagi mengambil kira nak beli rumah. Nak beli perabot untuk rumah sewa pun perit.

Berbanding dengan kaum Cina, di mana angpau yang diterima ketika majlis perkahwinan bukan sahaja boleh balik modal, tapi ada yang boleh untung.

Sebagai seorang yang berkahwin dengan wanita kaum Cina, budaya ini memang akan rasa “sakit” sedikit, kerana ia bukan hanya untuk perkahwinan tapi juga sempena kelahiran anak. Malah, ahli keluarga masuk rumah baru pun digalakkan untuk diberi angpau.

Namun kesakitan ini diimbangi, kerana semasa kami berkahwin, dapat anak, masuk rumah baru, kami pun menerima rezeki ini. Renungkanlah.


ZIKRI KAMARULZAMAN ialah anggota sidang redaksi Malaysiakini.

Bagaimanapun tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.



Source link