Malaysia Oversight

Jadikan isu pemain warisan sebagai teladan

By MkiniBM in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
Jadikan isu pemain warisan sebagai teladan


Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah isu dokumentasi tujuh pemain warisan negara harus dijadikan teladan dan peringatan kepada semua pihak pada masa hadapan.

Baginda yang juga bekas presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertitah pihak bertanggungjawab perlu berusaha memperbetulkan keadaan demi cinta terhadap bola sepak tanah air, sekali gus membolehkan sukan itu bangkit daripada masalah yang membelenggu.

Al-Sultan Abdullah pada masa sama menyeru semua pihak memberikan ruang kepada proses siasatan isu berkenaan agar dapat dijalankan dengan adil.

“Untuk bersikap adil, biarkan proses itu berjalan lancar. Biarlah kebenaran menang. Biar yang benar akan keluar dari pihak-pihak yang bertanggungjawab,” titah baginda pada acara Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports di Stadium Merdeka di Kuala Lumpur hari ini.

Isnin lepas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terlibat iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Jawatankuasa Rayuan Fifa mengekalkan hukuman dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Disiplin Fifa (FDC).

7e1a5b97a88207b883b5cec0f25dcc43

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala ketujuh-tujuh pemain berkenaan didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) seorang dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

FAM dan para pemain terbabit mempunyai 10 hari untuk memohon penghakiman penuh dan 21 hari untuk memfailkan rayuan kepada CAS.

Pemangku Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi yang terkejut dengan keputusan itu berkata pihaknya akan menulis kepada FIFA bagi mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis berhubung keputusan berkenaan, sebelum menentukan langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke CAS.

Sementara itu, keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke acara hari ini turut diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dianjurkan oleh ShekhinahPR dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (Yasa), majlis itu menghimpunkan 150 tetamu termasuk legenda sukan tanah air seperti Santokh Singh dan Soh Chin Ann (bola sepak), Rashid Sidek dan James Selvaraj (badminton) dan Leong Mun Yee (terjun).

Majlis bermula dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenaan menyertai sesi zumba sebelum mengelilingi trek lokasi ikonik itu selain jamuan makan bersama tetamu jemputan.

Mengenai Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports, Sultan Abdullah bertitah idea berkenaan datang daripada baginda sendiri bagi melepaskan rindu kepada legenda sukan yang pernah berbakti buat negara suatu ketika dahulu.

“Memang kita rindu orang-orang lama. Sebenarnya idea ini memang asal daripada saya setelah selalu kunjung ke masjid sebelah ini, Masjid Al-Sultan Abdullah dan ternampaklah bangunan tinggi (Merdeka 118) dan sebelah stadium ikonik ini, Stadium Merdeka.

“Jadi, saya hasilkan cetusan idea ini untuk berjalan di sini sekali dan kenapa mahu berjalan seorang? Baiklah kita jemput, legenda-legenda, ahli-ahli sukan dan atlet dahulu dan semua pihak yang terlibat mengingati Stadium Merdeka ini satu ketika dulu,” titah baginda.

Baginda juga terbuka dengan idea untuk meneruskan penganjuran acara ini menjadi acara tahunan pada masa akan datang.

-Bernama



Source link