Malaysia Oversight

Jabatan Kastam Pahang lumpuhkan kegiatan jual rokok seludup

By MkiniBM in November 4, 2025 – Reading time 2 minute
Jabatan Kastam Pahang lumpuhkan kegiatan jual rokok seludup


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya melumpuhkan kegiatan mengedar dan menjual rokok seludup kepada warga asing di sekitar Kuantan sejak Ogos lalu.

Kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan dilakukan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, pasukan penguatkuasaan melakukan serbuan ke premis kediaman yang menjadi tempat simpanan rokok – kebanyakannya jenis kretek – di Indera Mahkota, 21, dekat Kuantan, pada 2 Okt lalu.

“Serbuan dilakukan sekitar jam 10.30 pagi dan premis kediaman itu dalam keadaan kosong tidak berpenghuni.

“Namun, berdasarkan penemuan atau kesan di premis terbabit, kita percaya ia pernah didiami lebih daripada seorang penghuni.

“Kita juga sedang menyiasat pemilik asal premis kediaman itu yang kita percaya menyewakan premis berkenaan kepada kumpulan penyeludup rokok ini,” katanya ketika sidang media di Wisma Kuantan Pahang, dekat Kuantan, hari ini.

Mohd Asri memaklumkan, hasil pemeriksaan di premis itu membawa kepada penemuan 1,586,660 batang rokok putih pelbagai jenis dan jenama.

84a03181329dc04921b779b1fc094eaa

Nilai rokok seludup itu, katanya, dianggarkan sekitar RM262,000 dengan duti dan cukai pula melebihi RM1.3 juta.

“Kita percaya bekalan rokok ini untuk jualan kepada warga asing yang berada di Kuantan dan kawasan berdekatan, namun warga tempatan pun mungkin menjadi sasaran kumpulan penyeludup ini.

“Secara keseluruhan jumlah rampasan serta duti dan cukai bagi kes ini bernilai RM1.62 juta,” jelasnya.

Dia menegaskan kegiatan mengedar rokok seludup adalah kesalahan mengikut Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Katanya, kes itu masih dalam siasatan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Saya harap orang ramai boleh terus membantu kami dalam memerangi jenayah penyeludupan kerana ia bukan saja mengakibatkan ketirisan hasil, malah ia boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada rakyat dan negara ini,” katanya.



Source link