Dua calon PKR yang sebelum ini menjadi Adun bagi Gagasan Rakyat Sabah (GRS) mendakwa mereka mendapat restu pimpinan semasa memilih untuk berpindah kepada parti baru.
Menurut Jamawi Jaafar dan George Hiew, tindakan mereka menyertai PKR sudah mendapat kebenaran daripada Presiden GRS, Hajiji Noor, dan ia melambangkan kerjasama yang baik di antara kedua-dua parti.
Malah Jamawi – yang diletakkan untuk kerusi DUN Melalap – memberitahu media malam tadi, terdapat rundingan yang teliti dibuat sebelum keputusan tersebut diambil.
“Ia dilakukan secara sukarela, tanpa unsur pengkhianatan. Ketua bahagian saya, Herbert, adalah penyokong kuat saya — jadi tak ada isu calon payung terjun di sini,” katanya selepas PKR memperkenalkan calon-calonnya.
Dia berkata percaturan itu mencerminkan matlamat yang lebih luas untuk memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri, terutamanya di kawasan pilihan raya seperti Melalap.
Jamawi memenangi kerusi DUN Kemabong – di bawah kawasan parlimen Tenom – melalui PRU 2018 namun dia melompat untuk menyertai Warisan – yang menjadi sekutu PH ketika itu – tidak lama kemudian.
Bagaimanapun ketika cubaan menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Warisan pada 2020, dia memilih untuk kembali kepada BN. Cubaan dibuat oleh bekas ketua menteri, Musa Aman, berkenaan bagaimanapun gagal apabila DUN Sabah kemudian dibubarkan.
Jamawi juga kemudian menyertai GRS.
Sementara itu, Hiew – yang akan mempertahankan kerusi Karamunting – mendakwa Hajiji secara peribadi telah “menyokong penuh” peralihannya kepada PKR.
Katanya, ia adalah bukti wujudnya kerjasama yang baik antara negeri dan pusat.
“Penduduk Karamunting tahu apa yang telah saya lakukan untuk mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita hari ini, Hajiji berkata, Jamawi dan Hiew bebas menentukan langkah yang mereka mahu ambil dan ia adalah hak demokratik masing-masing.
“Mereka telah menjadi ahli PKR, jadi mereka tidak lagi boleh menjadi sebahagian daripada GRS. Kami sudah melepaskan mereka,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu pada pagi tadi.
Kata Hajiji, GRS tidak boleh menghalang mereka memilih parti lain, dan tidak boleh juga menggalakkan mereka.
“Itu pilihan demokrasi mereka, itulah politik di Sabah. Biarlah,” katanya sambil menjanjikan sokongan GRS kepada kedua-dua calon terbabit.






