Malaysia Oversight

Isu Zara dan Affan Kurniawan: Hilangnya kepercayaan pada sistem

By MkiniBM in August 31, 2025 – Reading time 6 minute
malaysiakini logo


ULASAN | Sebelum saya memasuki tajuk, saya tertarik untuk memetik ungkapan yang al-Imam Ibn Muflih menyandarkannya kepada Saidina ‘Ali bin Abi Talib, yang bermaksud:

“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ia dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ia ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201. Beirut: Muasasah al-Risalah).

Perkembangan yang berlaku mutakhir ini, khususnya kebangkitan rakyat Malaysia bagi isu adik Zara Qairina dan sekarang kebangkitan rakyat Indonesia terutamanya atas kematian Affan Kurniawan yang begitu merebak hendaklah dipandang serius oleh ahli-ahli politik dari segala aliran di negara ini. Demikian juga semua tokoh masyarakat termasuk tokoh-tokoh agama demi kebaikan negara. 

Ini bukan kebangkitan satu aliran politik untuk menjatuhkan aliran politik yang lain. Ini adalah kebangkitan rakyat yang sudah hilang kepercayaan terhadap sistem yang adil yang mampu membela nasib mereka. Sama ada itu benar atau tidak, ia soal yang kedua. Apa yang penting, kepercayaan telah hilang.

Kes adik Zara Qairina

Di Malaysia, sukar untuk kita menduga bahawa ledakan kebangkitan rakyat boleh tercetus bukan daripada usaha orang politik tetapi daripada rasa tidak puas hati dan hilang kepercayaan awam yang merentasi isu politik antara dan pembangkang. 

Kebiasaannya, tunjuk perasaan tidak puas hati kepada pihak yang berkuasa didalangi oleh pengaruh pembangkang. Namun, dalam kes Zara Qairina, mereka yang bangkit tersebut pun tidak mahu mereka menjadi alat pembangkang. Apa yang mereka mahu ialah menzahirkan rasa tidak puas hati atau tidak percaya kepada sistem atau pengurusan sistem yang ada dalam menjamin keadilan dan hak mereka sebagai rakyat biasa.

Sebenarnya, kebangkitan bukan kerana adanya isu buli yang ini semata-mata. Ia hanya manifestasi atas pelbagai isu lain. Sebelum ini pernah ada kes buli sehingga mati yang jauh lebih tragis dibandingkan kes Zara Qairina, iaitu kes Zulfarhan Osman Zulkarnain. Kes ini juga telah menimbul resah dan menghakis sedikit sebanyak kepercayaan kepada keadilan sistem yang ada. 

e6aa4db025a9792a5be365f154f57bb0

Namun, bom jangka belum meletup. Kemudian ada lagi pelbagai kes yang lain, sebelum dan selepas itu. Tingkah laku sebahagian golongan VVIP termasuk golongan istana yang menjadi berita dan buah mulut rakyat, juga memberikan mesej kepada ramai seakan sistem keadilan itu akan terbantut jika membabitkan mereka yang berpangkat dan berkedudukan. 

Kisah orang bawahan diperlakukan oleh golongan bangsawan dan atasan menjadi bara api kemarahan awam. Kepercayaan rakyat kepada sistem makin terhakis. Dalam dunia teknologi media sosial hari ini, semua tajuk yang dahulu sukar untuk dikongsi, hari ini dengan mudah dan pantas boleh dikongsi. Lebih dahsyat lagi, tokok tambah cerita sering juga berlaku menjadikan sesuatu riwayat itu bertambah panas.

Saluran politik bukan lagi harapan

Jika dahulu, banyak kemarahan rakyat ini diluahkan melalui saluran politik atau menunggu musim pilihan raya. Hari ini, setelah melihat tokoh-tokoh politik dan parti-parti yang selama ini bercakap soal keadilan dan hak rakyat juga gagal menunaikan kata-kata mereka apabila berkuasa, maka harapan rakyat kepada semua orang politik juga sudah menipis dan tidak banyak yang berbaki. 

Akhirnya, mereka melihat semuanya sama sahaja. Keadilan hendaklah dituntut oleh mereka sendiri tanpa diwakili oleh orang-orang politik lagi. Fenomena ini mencetuskan keadaan baru dalam negara ini yang jika tidak diatasi, satu keadaan yang tidak terkawal seperti di Indonesia hari ini boleh berlaku.

Kemarahan rakyat Indonesia

Keadaan di Indonesia dari beberapa sudut lebih rapuh jika dibandingkan Malaysia. Ini terutamanya dalam soal kemiskinan dan juga tahap rasuah di sana. Keadaan kehidupan yang dibaluti kemiskinan dan korupsi bukan sesuatu yang baru. Rasa tidak puas hati juga sudah ada sejak lama. Namun, media sosial hari ini membuka ruang untuk banyak perkara didedahkan, banyak perasaan dapat diluah, dan banyak suara yang berani dapat diperdengarkan. 

Tokok tambah dan spekulasi juga mudah tersebar. Apatah lagi apabila ada rakaman yang ditularkan. Rakaman tarian kegembiraan ahli-ahli (DPR) atau Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia yang ditularkankan, umpamanya, mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia. Mereka mendakwa joget itu atas kenaikan elaun sedangkan rakyat sedang menderita. 

73805195 607

Kematian Affan Kurniawan yang dilanggar kenderaan polis bagaikan bahan bakar yang benar-benar menggoncang negara itu. Sekali lagi, rakyat sudah tidak percaya kepada ahli-ahli politik dan sistem yang ada. Mereka menzahirkan kebencian dan permusuhan terhadap Dewan Perwakilan Rakyat. Kebangkitan mereka bukan untuk mengambil kuasa, tapi untuk melepaskan kemarahan semata. Hasilnya, kerosakan harta yang pelbagai berlaku dalam negara jiran kita tersebut.

Kuasa tular di era ini bukan sebarangan. Kes Zara di Malaysia boleh memberikan kesan dan kongsi rasa yang sama di negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Slogan Justice for Zara bukan sahaja diangkat di Malaysia, tetapi juga di negara-negara jiran. Ini semua berlaku disebabkan pengaruh media sosial yang pantas dan mampu berkongsi rasa dan suasana ke tempat lain dengan begitu jelas. 

Kebangkitan mahasiswa di Indonesia sekarang juga mendapat dokongan daripada sebahagian gerakan mahasiswa di negara ini. Ini juga fenomena baru yang tercetus pantas disebabkan kekuatan media sosial yang tidak mudah untuk dikawalkan oleh mana-mana penguasa.

Maka, tidaklah mustahil jika tidak diuruskan dengan baik, suasana di Indonesia itu boleh merebak ke negara ini.

Bahaya kebangkitan bentuk baru 

Keburukan kebangkitan dalam bentuk ini adalah ia tidak bertujuan memberikan alternatif kepada sistem atau pengurusan sistem yang ada. Ia lebih kepada meluahkan kemarahan yang terpendam di dada awam. Kepercayaan kepada sistem atau pengurusannya sudah hilang. 

Lebih parah, jika kepercayaan kepada siapakah yang boleh mengendalikan sistem dengan baik atau mengujudkan sistem yang lebih adil sebagai alternatif juga tiada. Akhirnya, apa sahaja jawapan tidak lagi mahu mereka dengar sekalipun benar. Ini kerana kepercayaan kepada sistem dan sesiapa sahaja yang mahu melaksanakan sistem telah hilang. Ini rentetan daripada kekecewaan yang panjang.

Paling menakutkan jika keadaan itu diambil kesempatan oleh pihak ketiga yang tidak mempunyai rasa patriotik kepada negara atau mempunyai agenda luar. Maka kerosakan yang lebih besar boleh berlaku.

Cadangan penyelesaian

Langkah yang paling utama ialah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan kita. hendaklah bertindak dengan tuntas bagi membuktikan keadilan tidak mengenal latar individu. Kesemuanya sama di hadapan undang-undang. Hak rakyat dapat diperolehi tanpa perlu memberontak atau bising di media sosial kerana sistem itu memang teguh dan kukuh.

f116e3b419d0251de0aa19414b56c2bb

Dalam keadaan kepercayaan telah terhakis, maka tindakan berani hendaklah dibuat oleh pihak untuk kelihatan ‘menghukum’ mereka yang gagal berfungsi dengan baik sehingga menimbulkan kemarahan awam. Menteri dan pegawai yang dilihat mencetuskan kebencian awam atas kegagalan menjalankan tindakan yang sepatutnya, hendaklah direhatkan atau berubah tempat. Dalam suasana ini, hukuman antara ubat yang berkesan menurunkan kemarahan.

Pada masa sama, di zaman sosial media ini segala tindakan dan tutur kata para pembuat dan pelaksana dasar hendaklah berhati-hati agar tidak memarakkan lagi api kemarahan.

Di zaman media sosial ini, rakyat makin pandai dan celik dalam segala aspek. Nilai-nilai yang dahulunya tidak dilanggar atas semangat setia atau feudal yang diwarisi sejak berketurunan, mungkin tidak diendahkan lagi oleh generasi baru. Maka bukan sahaja ahli-ahli politik, golongan istana juga hendaklah berhati-hati dan mengawal tindak tanduk. 

Cerita projek dan harta negara yang dibahagikan secara tidak adil yang disebarkan atau tersebar dalam kalangan awam, bukan sahaja membabitkan orang politik dan kroni mereka, tetapi juga dikaitkan golongan istana dan bangsawan serta kroni. Ia makin panas pada akhir-akhir ini. Kedengaran di serata pelusuk. Jika tidak terkawal, ia boleh meruntuhkan banyak asas kenegaraan yang telah lama kita pelihara.

Maka, atas semangat sayangkan negara kita, hendaklah sama-sama kita kembalikan keyakinan awam terhadap sistem keadilan kita, juga hak menikmati kemakmuran negara ini secara adil dan terhormat. Salam kemerdekaan buat semua.


MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis.

Tulisan ini disiarkan kali pertama di Facebooknya dengan tajuk asal “Isu Zara dan Affan Kurniawan: Amaran untuk politik Malaysia dan Indonesia”. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link