MUKTAMAR PAS | Presiden PAS Abdul Hadi Awang meremehkan desakan perwakilan Dewan Ulama PAS Pulau Pinang agar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu, Dominic Lau digantikan.
Jelas Abdul Hadi, isu berkenaan boleh dibincang dalam suasana persahabatan.
“Kita anggap perkara dalaman PN yang kita boleh bincang secara persahabatan, selesai masalah apa yang penting.
“Walaupun berlaku krisis semasa pilihan raya lalu dalam PN, ibarat air berkocak dalam cawan sahaja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS Pusat ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, Kedah hari ini.
Sebelum ini, perwakilan Dewan Ulama PAS Pulau Pinang Shafirul Rozani membidas Lau yang juga presiden Gerakan kerana didakwa gagal memimpin PN negeri itu.
Shafirul berkata gabungan itu perlu bekerja dan dilihat berfungsi sebagai sebuah parti politik di Pulau Pinang.
Namun, menurutnya, Lau dilihat tidak mampu mengemudi gabungan pembangkang negeri tersebut.
Ini bukan kali pertama PAS Pulau Pinang membangkitkan isu terhadap Lau.
Dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Ke-44 tahun lalu, Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor mengemukakan usul agar Lau digantikan dengan orang lain dan PN negeri distruktur semula.
Sementara itu, Abdul Hadi yang juga timbalan pengerusi PN menolak dakwaan krisis dalaman gabungan itu akan membawa kepada perpecahan.
“Itu merupakan prinsip demokrasi dalam parti kita dan kita berjuang untuk PN.
“Kita usahakan dan sebarang krisis berlaku kita usaha selesaikan dengan baik. Kritikan itu lebih kepada untuk kita sama-sama muhasabah diri dalam parti.
“Mungkin kritikan itu betul, kalau betul kita kena ikutlah, kalau tak betul kena ada hujah,” katanya.