Isu akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani ketua-ketua bahagian bagi mendesak Muhyiddin Yassin berundur daripada terus memimpin parti itu masih belum berakhir.
Menurut seorang sumber yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, isu berkenaan hanya “diredakan” kelmarin bagi memastikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu berjalan lancar dan berakhir dengan tenang, seperti diminta presiden.
Katanya, seorang ahli MPT akan membawa SD tersebut kepada Muhyiddin dalam satu pertemuan.
“Isu SD belum berakhir, usaha meredakan ketegangan dibuat bagi memastikan supaya PAT berakhir dalam suasana harmoni demi menjaga nama baik parti.
“Ia seperti mana permintaan presiden dalam mesyuarat khas MPT selepas kekecohan berlaku yang mahukan PAT berakhir dengan tenang tanpa sebarang kekecohan lagi.
“Semua maklum pasal SD ini termasuk presiden, seorang ahli MPT telah memohon untuk bertemu presiden bagi menyerahkan SD ini,” katanya kepada Malaysiakini.
PAT Bersatu pada Sabtu lalu kecoh apabila Muhyiddin mendakwa ada komplot mengumpul tandatangan termasuk SD bagi menjatuhkannya sebagai presiden.

Keadaan menjadi tegang apabila ada perwakilan melaungkan “turun Tan Sri” sebagai reaksi terhadap ucapan Muhyiddin.
Laungan itu kemudian disambut kumpulan lain yang mempertahankannya dengan jeritan “hidup Tan Sri”. Pertembungan dua kumpulan perwakilan itu memaksa pasukan keselamatan yang bertugas meleraikan keadaan.
Sumber mendakwa lebih 120 ketua bahagian telah menandatangani SD mendesak Muhyiddin menyerahkan tampuk kepimpinan parti kepada penggantinya.
Malah dakwanya, majoriti pemimpin akar umbi juga tidak bersetuju dengan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.
“Majoriti tak setuju dengan usul itu, namun kita tak mahu kekecohan berulang lagi semalam,” katanya.
Sebelum PAT berlangsung, lebih 120 ketua bahagian dilaporkan berkumpul di sebuah restoran di ibu negara dalam satu pertemuan anjuran Wan Saiful Wan Jan, dipercayai bertujuan menenangkan mereka agar persidangan berjalan lancar.
Cadangan gantung dari parti
Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan bahawa dalam mesyuarat khas MPT itu, Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali mencadangkan supaya perwakilan yang mencetuskan kekecohan digantung daripada parti.

Namun cadangan itu ditolak Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainuddin kerana khuatir ia akan mengusutkan lagi keadaan.
“Azmin mahu perwakilan yang menimbulkan kekecohan digantung, tapi Hamzah halang dan kata memadai dengan permohonan maaf,” kata sumber.
Seorang lagi pemimpin Bersatu yang enggan namanya didedahkan berkata, dakwaan rundingan sulit seperti yang didedahkan dalam surat layang beberapa hari sebelum PAT, tidak disasarkan secara langsung kepada Hamzah.
Ketika ditanya lebih lanjut, sumber parti itu berkata: “Ya, ada sebab untuk mengesyaki bahawa ‘Si Kitol’ dan ‘broker’ itu merujuk kepada ‘orang kanan’ Hamzah,” katanya ketika diminta mengulas sama ada individu yang didakwa itu adalah pemimpin yang sama yang kononnya meminta bertemu dengan Muhyiddin untuk menyerahkan SD.
Dalam ucapan penggulungannya, Hamzah menegaskan tiada “si kitol” atau “broker” dalam parti itu, malah menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin.
Ahli Parlimen Larut itu mengakhiri ucapannya dengan memeluk erat Muhyiddin sebagai tanda tiada pergeseran antara mereka.
Muhyiddin turut mengakui perkara itu dalam sidang medianya selepas PAT selesai.