Isu melibatkan beberapa projek di Perlis antara punca krisis politik yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, Shukri Ramli.
Bercakap pada satu sidang media di Marang hari ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata banyak projek besar di negeri itu tidak mengikut peraturan.
“Projek banyak sangat. Projek tak ikut peraturan pula, salah. Di sebaliknya ada rasuah, di sebaliknya ada macam-macam.
“Dia (Shukri) tak boleh ikut. Saya tak perlu sebutlah siapa dia.
“Jadi bila kuat tekanan, kita terpaksa bertindaklah,” kata Abdul Hadi.
Terdahulu, PAS semalam memaklumkan keahlian tiga Adun Perlis terhenti berkuat kuasa serta-merta selepas berlaku pergolakan membabitkan usaha untuk menjatuhkan kempinan Shukri sebagai menteri besar.
Tindakan itu diambil terhadap Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Susulan daripada itu, speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan semalam mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga DUN berkenaan.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata Shukri meletakkan jawatannya bukan kerana zalim dalam pentadbirannya, tetapi kerana “dizalimi”.
“Dia menteri besar yang turun ke medan. Orang masih sokong dia. Dan dia pun tak nak jadi menteri besar dah.
“Dia dizalimi, bukan dia zalim. Kita dalam Islam ni, orang kena zalim ni nabi ajar Tuhan terima doa,” katanya.






