PARLIMEN | Bantuan kepada usahawan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.
Perkara itu dibangkitkan oleh Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas), yang mahu tahu berkaitan usaha kerajaan meningkatkan daya saingnya, termasuk bantuan supaya usahawan jeruk buah mendapatkan sijil halal dan memperluas pasaran.
Timbalan Menteri R Ramanan kemudian menjawab soalan itu kerana Ewon Benedick telah meletakkan jawatan sebagai menteri Pembangunan usahawan dan koperasi.
“Untuk makluman ahli yang berhormat, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi sentiasa komited dalam usaha memperkukuhkan daya saing usahawan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana termasuklah usahawan yg menjalankan perniagaan jeruk buah-buahan ini–pickle (jeruk), bukan pickleball,” gurau Ramanan.

Dia menjelaskan terdapat pelbagai inisiatif untuk bantu PMKS, termasuklah program oleh SME Corporation Malaysia untuk meningkatkan perusahaan bumiputera.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pensijilan perniagaan bumiputera, sambil turut menyediakan bantuan promosi dan pengiklanan, kata dia.
Katanya, sehingga 31 Oktober, sebuah syarikat PMKS yang menjalankan perniagaan jeruk diluluskan geran bernilai RM500,000 bagi pembelian mesin dan peralatan.

Di Pulau Pinang, katanya, pada tahun 2024 seorang usahawan jeruk buah-buahan bumiputera menerima pembiayaan sebanyak RM700,000 daripada SME Bank; dan seramai enam usahawan lagi menerima pembiayaan RM173,000 daripada Tekun Nasional untuk tahun 2025.
Sebagai respons, Siti Mastura berkata, “Kalau ramai orang Pulau Pinang tidak makan jeruk, itu tidak bermakna ia tidak penting.”






