Malaysia Oversight

Isu pemimpin PAS campur PRU S’pura: Boleh calar hubungan diplomatik

By MkiniBM in April 27, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Tindakan dua pemimpin yang mencetuskan kontroversi dengan kenyataan mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura dilihat bukan sahaja melanggar norma hubungan antarabangsa, tetapi juga berpotensi merosakkan hubungan diplomatik yang telah lama terjalin erat antara Malaysia dan Singapura.

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata secara prinsipnya memberikan komen terhadap perkembangan politik negara lain tidaklah menjadi kesalahan.

“Namun, apa yang menjadi masalah ialah apabila kenyataan tersebut cuba mempengaruhi pola pengundian rakyat Singapura berdasarkan kaum dan agama. Ini bertentangan dengan nilai demokrasi inklusif yang sepatutnya dihormati.

“Pemuda Amanah Nasional mengingatkan semua pihak, khususnya , bahawa keprihatinan terhadap sesuatu komuniti di luar negara tidak boleh dijadikan alasan untuk campur tangan dalam urusan politik negara tersebut.

“Tanggungjawab sebagai pemimpin menuntut kebijaksanaan dalam menimbang sensitiviti politik dan undang-undang negara jiran,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura dan Jabatan Pilihan Raya negara itu pada satu kenyataan bersama menyebut Singapura “mengenal pasti beberapa individu asing yang cuba mempengaruhi PRU” dan mengeluarkan “Arahan Pembetulan” kepada Meta untuk menyekat akses kepada posting mereka.

Tiga individu itu, Bendahari Iskandar Abdul Samad, Ketua Pemuda PAS Mohamed Sukri Omar, dan seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Zulfikar Mohamad Shariff — seorang bekas warganegara Singapura yang kini menetap di Australia.

Menurut pihak berkuasa Singapura, Zulfikar yang melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020, “telah menuduh beberapa ahli parlimen Melayu-Muslim gagal mewakili kepentingan komuniti Muslim, dan mengatakan komuniti Muslim tempatan tidak memerlukan seorang ahli parlimen Melayu yang tidak mewakili pandangan mereka.”

Pihak berkuasa Singapura turut menyatakan Sukri telah memuat semula hantaran Zulfikar itu.

Namun begitu, kedua-dua pemimpin PAS terbabit menafikan tuduhan Singapura yang mendakwa mereka cuba mempengaruhi pengundi republik itu menjelang PRU yang dijadualkan pada 3 Mei ini.

Sementara itu, Hasbie, yang juga ahli Dewan Negara menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat wajib menghormati kedaulatan dan undang-undang negara lain.

Jelasnya, sebarang bentuk kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai cubaan mempengaruhi politik domestik Singapura adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang implikasi diplomatik yang tidak perlu.

“Pemuda Amanah menegaskan bahawa hubungan baik Malaysia-Singapura perlu dipelihara dengan penuh rasa hormat, adab diplomasi dan tanggungjawab bersama.

“Tindakan pemimpin PAS yang melulu bukan sahaja merosakkan nama baik parti masing-masing, malah turut mencemar imej negara di mata masyarakat antarabangsa,” ujarnya.

Dia turut menyeru pemimpin PAS supaya sentiasa menjaga tata susila dalam berurusan dengan hal ehwal antarabangsa, serta mengutamakan keharmonian serantau berbanding kepentingan politik sempit.

“Malaysia mesti kekal sebagai rakan yang dipercayai, dihormati, dan disegani di rantau ini,” kata Hasbie.



Source link