Kerajaan Selangor menegaskan bahawa kerja-kerja perobohan Kampung Papan di Pandamaran, Klang, dihadkan kepada rumah dan premis perniagaan yang kosong.
Exco perumahan Borhan Aman Shah berkata langkah itu selaras dengan arahan dan penyelesaian berhemah yang dipersetujui dalam perundingan semua pihak berkepentingan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Amirudin Shari, Selasa lalu.
“Kerjasama dengan semua agensi terlibat akan diteruskan bagi menjamin proses inidilaksanakan secara berperingkat tanpa mengabaikan aspek kemanusiaan dan kepentingan pembangunan negeri,” katanya.

Pendirian itu ditanyakan melalui kenyataan media pagi ini, kira-kira 24 jam selepas sekumpulan penduduk mengadakan tunjuk perasaan di pusat pentadbiran kerajaan di Shah Alam bagi menuntut campur tangan Amirudin.
Sementara itu, Borhan berkata kerajaan negeri komited memastikan kerja-kerja pembangunan dilaksanakan secara berperingkat dan tidak mengabaikan aspek kemanusiaan.






